KUALA LUMPUR, 26 Nov – Kerajaan bersetuju untuk memperluaskan pengeluaran skim i-Sinar daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP) kepada semua ahli yang terjejas pendapatan akibat pandemik wabak COVID-19.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pengeluaran tersebut akan memanfaat lebih 8 juta ahli berbanding sebelum ini yang diumumkan hanya 2 juta ahli sahaja.
“Setelah saya berbincang lanjut dengan pengurusan KWSP pagi tadi, sukacita diumumkan bahawa program i-Sinar kini dibuka dan diperluaskan kepada semua ahli yang terjejas pendapatan mereka,
“Tidak kira samada disebabkan hilang pekerjaan, ataupun telah terkurang pendapatan mereka tahun ini, ahli tersebut layak memohon untuk membuat pengeluaran dari Akaun 1,
“Tanpa mengira samada ahli tersebut pekerja sektor formal atau bekerja sendiri, tanpa mengira ahli aktif mencarum atau tidak, selagi terjejas pendapatan dengan ketara bolehlah mengeluarkan simpanan dari Akaun 1 KWSP,” katanya semasa sesi Penggulungan Perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Zafrul, sebelum ini setiap ahli dibenarkan untuk mengeluarkan sehingga RM9 ribu, dan kini boleh mengeluarkan sehingga RM10 ribu.
“Mereka cuma perlu memohon di dalam talian atau hadir di mana-mana pejabat KWSP,
“Tunjukkan sahaja bukti mengenai kehilangan pekerjaan, notis cuti tanpa gaji, potongan gaji, elaun atau OT mahupun pengurangan pendapatan jika bekerja sendiri,” ujarnya. – airtimes.my