Home Semasa ‘Belanjawan 2021: Jadikan perkhabaran ini satu kebaikan buat rakyat’ – Tengku Zafrul

‘Belanjawan 2021: Jadikan perkhabaran ini satu kebaikan buat rakyat’ – Tengku Zafrul

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan pembentangan Belanjawan 2021 hasil kerajaan ini di rangka dengan penuh berhati-hati dan rapi.

Beliau berkata, Ahli-Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat ini akan menentukan segala manfaat yang termaktub dalam Belanjawan 2021 ini.

“Sementara itu, di luar sana, adalah pemilik sebenar Belanjawan ini. Iaitu jutaan rakyat kita yang saban hari menunggu, resah menanti bilakah Belanjawan ini akan diturunkan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Zafrul turut menyeru agar semua Ahli Parlimen menjadikan perkhabaran dari Parlimen ini sebagai satu perkhabaran yang penuh dengan kebaikan dan berita mengembirakan buat semua lapisan rakyat seluruh negara.

“Pada petang ini, jadikanlah, dewan ini sebagai saksi, bahawa kita semua dapat berdamai walaupun seketika, berjabat tangan demi melindungi masa depan rakyat dan negara,

“Jadikanlah Dewan Mulia ini bergema-gema dengan suara kita, sehati senada memberi sokongan padu menjadikan Belanjawan ini satu kenyataan, satu kebenaran, satu realiti,

“Jadikanlah, dewan ini tanda perjuangan kita bersama untuk membina semula ekonomi negara, jangan kita sekali-kali terhenti di tengah jalan, membujur lalu melintang patah, kita tidak akan berhenti selagi ekonomi belum pulih seperti sedia kala,

“Dengan ini saya dengan rendah hati dan penuh tawadduk selaku Menteri Kewangan Malaysia menyeru Ahli-Ahli Yang Berhormat semua untuk sebulat suara meluluskan Belanjawan 2021 ini,” katanya mengakhiri sesi pengulungan pada hari ini.

Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) diluluskan di peringkat dasar pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Belanjawan, yang pertama dibentang di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin diluluskan dengan lebih suara bersetuju.

Belanjawan 2021 dibentang Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 Nov lepas dan seramai 82 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan yang berlangsung dari 9 Nov hingga 19 Nov. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!