Home Pertahanan dan Keselamatan ATM pertingkat prosedur kawalan sempadan Malaysia-Thailand

ATM pertingkat prosedur kawalan sempadan Malaysia-Thailand

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pertingkat kawalan sempadan daratan berikutan insiden tembak-menembak di Padang Besar.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM berkata, ATM memandang serius insiden terbabit kerana melibatkan nyawa angota yang bertugas di kawasan operasi.

“ATM mengingatkan setiap lapisan peringkat kepimpinan serta anggota yang terlibat dalam operasi kawalan persempadanan untuk terus berwaspada dan meningkatkan aspek kesiagaan operasi terutama di lokasi panas,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Selain itu, ATM tidak menolak aktiviti jenayah rentas sempadan dinaungi oleh sindiket tertentu yang menjurus kepada aktiviti jenayah berat dan bersenjata.

“Aktiviti jenayah rentas sempadan dan penyeludupan perlu diberi perhatian atas faktor ancaman yang bukan sahaja mengganggu-gugat kedaulatan negara malah ancaman keselamatan kepada anggota ATM yang bertugas,

“Mereka (penjenayah) mampu untuk bertindak di luar batasan untuk melepaskan diri dari ditahan,” jelasnya lagi.

Affendi berkata demikian susulan insiden tembak menembak antara Pasukan Gerakan Am (PGA) dan kumpulan penyeludup yang mengorbankan seorang anggota keselamatan.

“ATM sebagai peneraju National Task Force (NTF) bersama PDRM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta agensi penguatkuasaan dan keselamatan lain akan terus memperkasakan kawalan persempadanan negara melalui pelaksanaan Operasi Benteng (Op Benteng) dalam mengekang sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan terutama melibatkan pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI),

“Jenayah rentas sempadan serta aktiviti penyeludupan tidak pernah berhenti tambahan dengan situasi semasa negara dan dunia menghadapi penularan wabak pandemik COVID-19,

“Namun, apa jua cabaran, ATM sentiasa berusaha memperkasa dan memperkemaskan kawalan keselamatan persempadanan melalui kekerapan rondaan di samping penggunaan aset seperti dron bagi mengesan sebarang pergerakan di sempadan negara,” ujar beliau.

Affendi menambah, kesiagaan dari segi aset dan warga ATM sentiasa berada di tahap yang tertinggi dalam melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan agar dapat membendung sebarang anasir asing yang cuba mengganggu gugat keamanan serta kedaulatan negara. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!