Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Pertingkat rondaan di sempadan negara, kekang kemasukan PATI – Zamrose

Pertingkat rondaan di sempadan negara, kekang kemasukan PATI – Zamrose

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Operasi rondaan di sempadan negara harus dipertingkatkan bagi mengekang sebarang aktiviti rentas sempadan dan penyeludupan sekaligus dapat mengekang penularan wabak COVID-19 di dalam negara.

Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain mengusulkan cadangan tersebut ketika menyertai Mesyuarat Pelbagai Hala PTD Negara-negara ASEAN (ACAMM) Ke-21 menerusi sesi sidang video, pada hari ini.

Beliau turut mencadangkan agar kerjasama erat antara Negara-negara ASEAN diperkukuhkan melalui mesyuarat atau perbincangan video secara maya seiring dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) norma baharu COVID-19.

“Kita harus meningkatkan operasi rondaan bagi mengekang sebarang aktiviti rentas sempadan dan penyeludupan yang akan membuka ruang kepada penyebaran wabak COVID-19,

“Menekankan peranan sekunder TD dalam membantu pihak berkuasa awam bagi memastikan keberkesanan operasi atau tugasan yang diarahkan oleh kerajaan untuk memutuskan rantaian wabak berkenaan,” katanya dalam kenyataan, pada hari ini.

Zamrose turut mencadangkan agar latihan secara bersama antara Negara-negara ASEAN diteruskan melalui sidang video.

Mesyuarat yang telah dipengerusikan oleh PTD Brunei, Brigedier Jeneral Muhammad Haszaimi Bol Hassan itu telah diadakan di Pusat Operasi Tentera Darat, Wisma Pertahanan.

ACAMM adalah sebuah forum yang menghimpunkan PTD Negara-negara ASEAN yang dianjurkan setiap tahun secara bergilir. Ia bertujuan untuk berbincang dan berkongsi pengalaman demi mengukuhkan perpaduan dan semangat kerjasama di antara Tentara Darat (TD) Negara ASEAN.

Pada masa yang sama, Zamrose turut membentangkan penglibatan TDM dalam membantu kerajaan mengekang wabak COVID-19.

“Dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Malaysia, TDM membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan melaksanakan pemeriksaan Sekatan Jalan Raya (SJR) dan rondaan penguatkuasaaan di seluruh negeri,

“Selain itu, anggota TDM juga terlibat dalam tugas menguatkuasakan secara bersama dengan agensi-agensi lain di kawasan awam bagi membendung rantaian jangkitan di kawasan zon merah supaya tidak menular ke kawasan lain serta memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP,” katanya.

Menurut PTD, Operasi Benteng (Op Benteng) yang dilaksanakan bertujuan mengekang kemasukan Pendatang Tanpa Izin (PATI) ke Malaysia ini melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta beberapa lagi agensi penguatkuasaan yang lain.

Selain itu, beliau menegaskan, kepentingan untuk melaksanakan pencegahan dan keselamatan kepada anggota tentera dalam memelihara keselamatan serta kesihatan diri mereka sendiri dari wabak COVID-19. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!