Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut “Perhatian! Ini perairan Malaysia, sila keluar!” – TLDM

“Perhatian! Ini perairan Malaysia, sila keluar!” – TLDM

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=Fm9lobwKzNk[/embedyt]

 

LUMUT, 24 Nov – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah mengusir keluar 25 bot nelayan Indonesia yang menceroboh perairan Malaysia di kedudukan kira-kira 25 batu nautika barat daya hingga 52 batu nautika selatan Pulau Perak dalam tempoh 48 jam.

TLDM dalam satu kenyataan berkata, bot tersebut dikesan oleh KD MAHAWANGSA yang sedang melaksanakan Operasi Benteng (Op Benteng) Laut dan Op Pejarak dan rondaan pemantauan Selat Melaka.

“KD Mahawangsa telah mengesan 5 buah bot nelayan asing yang tidak memiliki nombor pendaftaran di Selat Melaka Utara pada jam 7.45 malam, 22 November 2020 kira-kira 43 batu nautika barat daya Pulau Perak dan telah mengusir kesemua bot tersebut keluar,

“Seterusnya dari jam 8 pagi hingga 1 tengahari, 23 November 2020, KD Mahawangsa telah mengesan sebanyak 13 bot nelayan asing pada kira-kira 25 batu nautika barat daya Pulau Perak yang tidak memiliki nombor pendaftaran dan mengusir kesemua bot tersebut keluar dari perairan negara,” menurut kenyataan itu.

Pada 23 November pula, KD Mahawangsa sekali lagi menerima maklumat daripada Air Component Commander (ACC), Pesawat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang mengesan 7 buah bot nelayan asing kira-kira 52 batu nautika selatan Pulau Perak.

“Pihak TLDM telah mengambil tindakan mengusir kesemua bot nelayan asing itu dengan mengiringi kesemua bot tersebut keluar dari perairan negara,” ujarnya.

Semasa proses penahanan dan pengusiran bot nelayan tersebut, anggota TLDM telah memberi amaran kepada awak-awak Indonesia agar keluar dari perairan Malaysia.

“Perhatian…Sila keluar dari perairan Malaysia. Ini adalah perairan Malaysia,” tegas anggota TLDM kepada nelayan Indonesia dalam satu video yang diterima.

TLDM menegaskan, pihaknya akan sentiasa memperkasakan Op Benteng bersama agensi maritim yang lain di bawah National Task Force (NTF) bagi memperkukuhkan sempadan perairan negara daripada pencerobohan.

“Keperkasaan TLDM melalui Maritime Component Commander (MCC) adalah dengan kehadiran kapal TLDM yang beroperasi 24/7 bagi menyokong hasrat dan aspirasi negara untuk mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk mencegah penularan pandemik COVID-19,” ujarnya. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!