Home Semasa COVID-19: Jangkitan harian lepasi angka 2 ribu, rekod tertinggi setakat ini

COVID-19: Jangkitan harian lepasi angka 2 ribu, rekod tertinggi setakat ini

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Jangkitan COVID-19 di Malaysia hari ini merekodkan jumlah kes harian tertinggi iaitu sebanyak 2,188 kes sejak wabak itu menular di dalam negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor masih lagi mencatatkan angka tertinggi pada hari ini iaitu sebanyak 1,623 kes dengan sebahagian besar melibatkan Kluster Teratai dengan pertambahan 1,511 kes.

Menurutnya, semua kes baharu yang dilaporkan hari ini membabitkan penularan tempatan.

“Negeri Sabah mencatatkan sebanyak 232 kes dan diikuti negeri Perak sebanyak 112 kes,

“Sebanyak 107 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Tembok (103 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (2 kes), Kluster Penjara Kepayan (1 kes) dan Kluster Penjara Sandakan (1 kes),

“Seperti yang telah dimaklumkan, pasukan perubatan dan kesihatan awam bantuan telah digerakkan ke kawasan yang terlibat bagi membantu segala aktiviti kawalan dan pencegahan termasuk saringan secara besar-besaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, seSehingga kini, terdapat 112 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 49 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Selain itu, terdapat sebanyak 1,673 kes pulih dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 44,153 kes.

Beliau menambah, terdapat 4 kes kematian berkaitan COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 341 kes.

“Kes kematian ke-338 melibatkan seorang lelaki berumur 84 tahun yang disahkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang. Beliau mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan paru-paru kronik,

“Manakala, 3 lagi kes kematian dilaporkan di Hospital Lahad Datu dan Hospitau Tawau di Sabah. Kesemua pesakit melibatkan seorang wanita dan 2 lelaki berumur 41 hingga 74 tahun,” tambahnya.

Pada masa yang sama, Dr Noor Hisham mengesahkan sebanyak 334 kluster telah dilaporkan sehingga semalam. Manakala jumlah kluster yang telah ditamatkan adalah sebanyak 167 kluster dengan 1 kluster tamat pada hari ini iaitu Kluster Bah Layangan.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 167 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 36 kluster melaporkan pertambahan kes,

“Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Teratai (1,511 kes), Kluster Tembok (103 kes), dan Kluster Bintang (69 kes),” ujarnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!