KUALA LUMPUR, 23 Nov – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Mohd Redzuan Md Yusof berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mungkin akan dilanjutkan sehingga hujung tahun sekiranya kes positif jangkitan COVID-19 masih terus meningkat di dalam negara.
Beliau berkata, pelaksanaan PKPB untuk membendung penularan pandemik itu dibuat berdasarkan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malayisa (KKM) di setiap kawasan yang terlibat.
“Penilaian ini mengambil kira jumlah kes COVID-19 dan kadar jumlah keberjangkitan dalam lokaliti tersebut dari masa ke masa,
“Kerajaan akan mengkaji keperluan untuk mengenakan PKPB sehingga hujung tahun ini sekiranya terdapat peningkatan kes,
“Pada masa yang sama, tindakan pembendungan perlu dilaksanakan bagi mencegah dan mengurangkan jumlah kes COVID-19 kepada seminima yang mungkin ataupun kepada sifar kes melalui PKPB,” katanya semasa menggulung perbahasan peringkat dasar Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada 9 November lalu, hampir semua negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dikenakan PKPB selama sebulan hingga 21 November 2020.
Perintah itu melibatkan Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu.
PKPB di Melaka, Johor, Kedah dan Terengganu ditamatkan pada Sabtu kecuali beberapa daerah di Kedah (Kulim), Johor (Kota Tinggi dan Mersing) dilanjutkan.
Manakala, Kelantan dikenakan PKPB mulai semalam berikutan peningktan kes jangkitan COVID-19 di seluruh negeri itu.
Menurutnya, keputusan dibuat oleh Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berdasarkan nasihat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“PKPB akan ditamatkan sekiranya berlakunya penurunan kes,” ujarnya. –airtimes.my