Home Pertahanan dan Keselamatan A400M TUDM terbangkan 3 bayi alami masalah jantung serius dari Kuching

A400M TUDM terbangkan 3 bayi alami masalah jantung serius dari Kuching

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 21 Nov – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melaksanakan satu penerbangan ihsan membawa 3 bayi yang mengalami masalah kesihatan jantung yang serius dari Kuching ke Pangkalan Udara Subang.

Operasi penerbangan pada lewat petang semalam melibatkan sebuah pesawat angkut A400M dari No. 22 Skuadron dan dilaksanakan selepas misi ke Sabah selesai.

TUDM dalam satu kenyataan berkata, ketiga-tiga bayi terbabit mengalami masalah jantung dan memerlukan rawatan segera Institut Jantung Negara (IJN) dan Hospital Gleneagles.

“Kesemua bayi berkenaan sebelum ini menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak,

“Mereka diiringi oleh pegawai perubatan, jurarawat dan ibu kepada ketiga-tiga bayi,” kata kenyataan itu.

Penerbangan ini membawa Eliora Mia Nawan berusia 20 hari yang memerlukan rawatan segera di Hospital Gleneagles kerana menghidap transposisi arteri besar (Transposition of Great Arteries).

Dua orang bayi lagi memerlukan rawatan di IJN.

Mereka adalah Marry Anne Methew Mavrick, berusia 19 hari menghadapi masalah ‘Congenital Heart Block’ sementara Abang Muhammad AlFatih Abang Mohammad, berusia 2 bulan menghadapi masalah jantung ‘Congenital Heart Disease’.

Kesemua bayi berkenaan sebelum ini menerima rawatan daripada Hospital Umum Sarawak.

Kesemua bayi telah dibawa ke institusi perubatan dengar kadar segera selepas tiba di Pangkalan Udara Subang – Foto: TUDM

Operasi penerbangan bermula pada pukul 7.07 malam dari Pangkalan Udara Kuching dan kemudiannya tiba ke Pangkalan Udara Subang pada pukul 8.43 malam.

Pesawat telah diterbangkan oleh Mejar Mohd Shafique Mohd Amin TUDM dan dibantu oleh pembantu juruterbang, Kapten Wan Abdullah Wan Hanapi TUDM.

“Turut terlibat adalah dua orang ‘Loadmaster’ iaitu PW U II Amran Rashid @ Jaafar dan Sjn U Mohd Naim Kamijan,

“Operasi ini turut disertai oleh dua orang ‘Supplementary Crew’, iaitu Kpl U Mohamad Azim Jamal dan Kpl U Harun Mustafa,” jelasnya lagi.

TUDM menambah, operasi ini dilaksanakan bagi membantu pesakit untuk mendapatkan rawatan segera dan tertakluk kepada keadaan tertentu terutamanya nasihat dari pegawai perubatan.

Operasi penerbangan ihsan ini turut membawa pegawai perubatan dan ibu kepada ketiga-tiga bayi. Foto: TUDM

“Operasi ini memperlihatkan keprihatinan dan komitmen TUDM dalam melunaskan tanggungjawab sosial,

“Selain itu, ia turut membuktikan bahawa TUDM sentiasa siap siaga untuk mengoperasikan aset-asetnya pada masa yang diperlukan,” katanya.

Menurut TUDM, operasi tersebut dijalankan selepas pesawat terbabit melaksanakan operasi penerbangan membawa Tim Mobilisasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke Tawau dan Kota Kinabalu yang dilaksanakan pada awal pagi.

“Penerbangan ke Sabah turut membawa peralatan perubatan daripada KKM serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu Academy Medicine of Malaysia dan Yayasan Amal Malaysia,” jelas kenyataan itu.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!