Home Semasa Kes jangkitan COVID-19 kembali kepada 4 angka

Kes jangkitan COVID-19 kembali kepada 4 angka

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 19 Nov – Jumlah kes jangkitan baharu pandemik COVID-19 di Malaysia kembali mencatatkan 4 angka.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 1,290 kes baharu dilaporkan pada hari ini.

Daripada jumlah itu, 2 negeri yang mencatatkan kes harian tertinggi ialah Sabah iaitu sebanyak 660 kes diikuti Selangor (407 kes).

“Pelaporan kes yang tinggi di Sabah berpunca daripada kluster-kluster berkaitan Pusat Tahanan Sementara (PTS), lokap dan penjara (250 kes),

“Manakala, peningkatan kes di Selangor pula berpunca daripada Kluster Teratai (245 kes) dan sebuah kluster baharu pada hari ini iaitu Kluster Kapas BJ (55 kes). Kedua-dua kluster tersebut adalah kluster berkaitan tempat kerja yang melibatkan bukan warganegara,” kata Dr Noor Hisham dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 269 kes yang dilaporkan pada hari ini adalah berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS), lokap dan penjara.

“Ia termasuklah Kluster Penjara Sandakan (218 kes), Kluster Matambai (15 kes), Kluster Tembok (15 kes), Kluster Penjara Kepayan (9 kes), Kluster PTS Tawau (6 kes), Kluster Benteng PK (3 kes), Kluster GK Tawau (2 kes), dan Kluster Penjara Seberang Perai (1 kes),” tambahnya.

Dr Noor Hisham memaklumkan, dalam tempoh 24 jam juga, negara merekodkan 878 kes sembuh dengan menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya adalah sebanyak 38,132 kes.

Beliau menjelaskan, terdapat 4 kematian baharu dicatatkan menjadikan jumlah kematian adalah sebanyak 326 kes.

Sementara itu, terdapat 110 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 37 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Sehingga 19 November 2020, terdapat sebanyak 319 kluster telah dilaporkan. Pada hari ini, terdapat 4 kluster baharu yang dilaporkan menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 165 kluster.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 54 kluster melaporkan pertambahan kes,

“Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Teratai (245 kes), Kluster Penjara Sandakan (215 kes) dan Kluster Kapas BJ (55 kes).

“Ingin dimaklumkan bahawa sebanyak 6 kluster telah tamat iaitu Kluster Umboo, Kluster Bah Mutiara, Kluster Khazanah, Kluster Jalan Pantai, Kluster Bah Bangat dan Kluster Bah Kasturi.

“Ini menjadikan jumlah kluster tamat adalah sebanyak 154 kluster,” tambahnya. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!