Home Semasa Kes COVID-19 lepasi angka 50 ribu, jangkitan harian kembali 3 angka

Kes COVID-19 lepasi angka 50 ribu, jangkitan harian kembali 3 angka

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Selepas empat hari berturut-turut Malaysia mencatatkan angka 4 digit kes positif wabak pandemik COVID-19, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kes tersebut telah kembali menurun kepada 3 angka pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 660 kes baharu telah dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) sehingga 12 tengah hari dengan menjadikan jumlah kamulatif positif wabak ini meningkat kepada 50,390 kes.

Beliau menjelaskan, daripada 660 kes baharu berkenaan, 4 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

“Sabah mencatatkan sebanyak 387 kes daripada keseluruhan kes positif pada hari ini. Manakala negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan sebanyak 173 kes iaitu penurunan sebanyak 345 daripada sejumlah 518 kes positif yang dilaporkan semalam,

“Daripada 173 kes positif yang dilaporkan di ketiga-tiga negeri Lembah Klang ini, sebanyak 77 kes adalah kes daripada kluster-kluster yang telah dikenal pasti, ” jelasnya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19, pada hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, sebanyak 171 kes dilaporkan pada hari ini adalah berkaitan kluster-kluster dari Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara.

“Ia melibatkan Kluster PTS Tawau (135 kes), Kluster GK Tawau (12 kes), Kluster Tembok (9 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (6 kes), Kluster Rumah Merah (4 kes), Kluster Matambai (4 kes) dan Kluster Penjara Sandakan (1 kes),” tambahnya.

Sehingga kini, terdapat 103 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 41 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, beliau menjelaskan terdapat 4 kes kematian akibat jangkitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Penambahan ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian wabak berkenaan dalam negara meningkat kepada 322 kes.

Beliau turut menjelaskan, terdapat 8 kluster baharu telah dikenal pasti oleh KKM melibatkan negeri Sabah, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sarawak dan Johor.

Seramai 630 pesakit COVID-19 pula telah disahkan pulih dan ia menjadikan bilangan kes pulih sepenuhnya dari wabak ini meningkat menjadi 37,254 kes. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!