KUALA LUMPUR, 16 Nov – Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing akhirnya memohon maaf kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah atas keterlanjuran kata ketika membahaskan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, baru-baru ini.
Beliau yang juga Duta Khas kepada Perdana Menteri ke China dalam satu kenyataan semalam berkata, tidak ada langsung terdetik untuk menafikan amalan mulia semua barisan doktor, jururawat, barisan hadapan termasuk Dr Noor Hisham.
“Bagi memastikan perjalanan sidang Dewan Rakyat yang lancar dan demi kepentingan serta keharmonian negara, saya membuat permohonan maaf sekiranya ada keterlanjuran kata saya ketika perbahasan Belanjawan 2021,
“Langsung tidak terdetik untuk saya menafikan amalan mulia semua barisan doktor, jururawat, barisan hadapan termasuk Ketua Pengarah Kesihatan,” katanya.
Menurutnya, beliau hanya berniat untuk membahas soal COVID-19 yang membimbangkan rakyat supaya dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Saya tidak mahu kerana saya, seluruh urusan Dewan Rakyat yang mulia ini terganggu,” ujar beliau.
Baru-baru ini, King Sing ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 mempersoalkan Dr Noor Hisham takut mati kerana tidak turun padang untuk melihat sendiri situasi COVID-19 di lapangan, sebaliknya hanya membuat sidang media harian melalui siaran langsung televisyen. – airtimes.my