[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=bAXRm1XV6UE[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 12 Nov – Ahli Parlimen Kepong (DAP), Lim Lip Eng telah digantung 5 hari oleh Speaker Dewan Rakyat kerana menganggu dan ingkar arahan pengerusi sidang.
Kejadian berlaku ketika Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun sedang membuat ruling (keputusan) berhubung usul untuk merujuk semula keputusan Timbalan Speaker yang dibuat semasa sidang Parlimen semalam.
“Saya berpendapat retorik perbahasan itu perlu dikawal kerana perkataan yang digunakan agak kasar,
“Berdasarkan Hansard, saya mendapat keputusan dibuat oleh Timbalan Speaker adalah muktamad mengikut Peraturan Mesyuarat,
“Saya tidak mempunyai kuasa untuk revisit (mengkaji keputusan itu),” jelas Azhar semasa membuat keputusan.
Belum sempat beliau meneruskan hujah, Lip Eng telah mencelah dan menegaskan keputusan dibuat Timbalan Speaker merupakan satu ruling yang bodoh.
Kenyataan oleh Ahli Parlimen Kepong telah menyebabkan Dewan Rakyat menjadi gamat.
Ahli Parlimen yang lain mendesak Lip Eng menarik balik kenyataan beliau.
“Tidak mahu tarik balik,” tegas Ahli Parlimen Kepong.
Beliau turut diminta oleh Azizan untuk duduk namun tidak diendahkan.
Lantaran daripada itu, Speaker Dewan Rakyat terpaksa mengeluarkan 3 kali amaran sebelum menghalau keluar dan gantung Lip Eng selama 2 hari.
“Speaker yang patut keluar,” balas wakil rakyat itu.
“Saya bagi kamu (gantung) 5 hari,” kata Speaker Dewan Rakyat.
Lip Eng enggan berganjak walaupun beberapa orang Bentara Dewan Rakyat telah menunggu untuk mengiring beliau keluar.
Azhar mengancam akan memanggil polis sekiranya dia enggan keluar.
“Kamu keluar, kalau tidak saya panggil polis,” kata Azhar.
Kenyataan beliau mendapat bantahan dari Ahli Parlimen pembangkang lain yang meminta untuk tidak memanggil polis.
“Saya mempunyai kuasa untuk memanggil polis mengikut Peraturan Mesyuarat,” tegas Speaker Dewan Rakyat yang merujuk perkara ke-7 di bawah Peraturan 44.
Kekecohan selama 3 minit itu berakhir apabila Lip Eng terpaksa akur untuk keluar dari Dewan Rakyat.
Azhar menegaskan wakil rakyat Kepong telah menganggu dan menimbulkan kekacauan dalam Persidangan.
“Beliau tidak mahu mematuhi arahan sehingga saya terpaksa mengancam untuk memanggil polis,” tegas beliau.
Sementara itu, Speaker Dewan Rakyat menegaskan beliau tidak boleh untuk membuat kajian semula yang dibuat oleh Datuk Seri Azalina berhubung kenyataan Ahli Parlimen Bintulu semasa sesi perbahasan, semalam.
Beliau menambah, peranan Timbalan Speaker adalah setara Speaker Dewan Rakyat kerana mempengerusikan mesyuarat yang sedang berlangsung.
“Jangan hantar doktor dan jururawat semata-mata kerana mereka tak takut mati. Ketua Pengarah Kesihatan tak pergi sebab takut mati, timbalan dia pun tidak pergi,” kata Datuk Seri Tiong King Sing dalam sesi membahaskan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.
Azalina telah memberi pilihan kepada Tiong untuk menarik balik atau meneruskan hujahnya.
Namun, Ahli Parlimen Bintulu enggan menarik balik kenyataan beliau.
“Ini suara petugas barisan hadapan, jadi saya tidak mahu tarik balik,” tegas Tiong.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan beliau bersama pengurusan tertinggi Kementerian Kesihatan Malaysia telah turun padang ke negeri Sabah.
“Tidak timbul isu takut mati,” katanya. – airtimes.my