KUALA LUMPUR, 10 Nov – Bekas Perdana Menteri ke- 6 dan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak hari ini menegaskan kerajaan mesti membenarkan rakyat untuk mengeluarkan wang simpanan mereka dari Akaun 1 KWSP.
Menurut beliau, pengeluaran wang KWSP secara one-off dengan nilai maksimum RM 10 ribu adalah penting dan amat diperlukan oleh rakyat ketika keadaan yang mendesak.
‘Wang diperlukan untuk modal dan bayar hutang’
“Pengeluaran ini dapat menambah wang dalam kitaran agar pekerjaan diselamatkan dan ekonomi dapat dirancakkan,
“Pembayaran secara one-off ini amat diperlukan oleh pencarum dan mereka tidak menerima pemberian RM 500 secara ansuran dari KWSP,” tegas Najib.
Beliau menjelaskan, pengeluaran wang RM 10 ribu secara one-off dari Akaun 1 KWSP adalah diperlukan rakyat untuk menyelesaikan tunggakan hutang, memenuhi keperluan keluarga serta caruman insurans.
“Wang tersebut boleh digunakan sebagai modal asas memulakan perniagaan kecil terutamanya kepada mereka yang kehilangan pekerjaan,
“Selain itu, mereka boleh gunakan wang tersebut untuk memulakan perniagaan dalam taluan yang semakin pesat,” jelas bekas Perdana Menteri.
Beliau menegaskan, keperluan ini tidak dapat dipenuhi dengan bayaran RM 500 sebulan sepertu yang dibentangkan dalam Belanjawan 2021 baru-baru ini.
‘Pengeluaran KWSP bukan termasuk dalam perbelanjaan kerajaan’
Najib menambah, dana wang KWSP tidak termasuk dalam perbelanjaan kerajaan dan pengiraan defisit negara.
Menurutnya lagi, kerajaan sepatutnya tidak menghalang para pencarum untuk mengakses wang mereka.
“Tanggungjawab kerajaan bukanlah untuk menafikan akses pencarum kepada wang mereka ketika keadaan terdesak,
“Kerajaan sepatutnya memberi fokus untuk mencari jalan memulihkan dan menambah wang pencarum yang mempunyai baki simpanan rendah dengan cepat,” tegas Najib semasa membahas Rang Undang-undang Pembekalan di Dewan Rakyat.
Menurut beliau, KWSP mempunyai jumlah aset terkumpul sebanyak RM 940 bilion dengan 49% daripadanya dalam bentuk bon kerajaan.
“Sekiranya 4 juta pencarum mengeluarkan dana one-off, KWSP hanya perlu cairkan RM 40 bilion daripada aset terkumpul mereka,
“Saya percaya tidak semua pencarum akan mengeluarkan secara maksimum dan mungkin sebanyak RM 20 bilion ke RM 30 bilion diperlukan untuk menampung pengeluaran ini,” jelas Ahli Parlimen Pekan.
Beliau menambah, bon KWSP boleh dilakukan tanpa memberi impak besar kepada pasaran tempatan.
“49% aset KWSP adalah dalam bentuk bon kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) boleh membeli bon-bon ini,
“Penglibatan BNM ini boleh membantu pelupusan bon tanpa memberi kesan besar kepada pasaran bon tempatan,” ujarnya.
‘Pelbagai cara untuk pulihkan wang Akaun 1 KWSP’
Pada masa yang sama, Najib menjelaskan kerajaan mampu untuk membantu pencarum memulihkan jumlah simpanan mereka selepas krisis COVID-19 berakhir.
Menurutnya, antara langkah yang boleh diambil adalah memberi peluang kepada KWSP untuk meraih pendapatan melalui projek-projek lumayan.
“Sebagai contoh, antara projek yang pernah melibatkan KWSP ialah Kwasa Land, Battersea di UK, dan pemilikan 60% syarikat PLUS Malaysia Berhad,
“Selain itu, KWSP boleh menaikkan kadar caruman bulanan kepada majikan dan pekerja untuk memulihkan dana Akaun 1 pencarum,
“KWSP juga boleh mengubah struktur bayaran dividen secara berperingkat dengan memberikan bayaran keuntungan lebih tinggi kepada akaun mempunyai baki simpanan yang rendah,
“Ini memastikan keuntungan dividen KWSP memihak kepada pencarum yang mempunyai baki simpanan kerana terpaksa mengeluarkan wang mereka,” kata Najib.
Beliau menambah, rintihan rakyat mengenai pengeluaran RM 10 ribu secara one-off perlu dipertimbangkan oleh kerajaan bagi menangani krisis ekonomi semasa.
“Janganlah sampai rakyat kata diminta KWSP, yang dapat adalah PKPB,” ujar beliau. – airtimes.my