WASHINGTON, 7 Nov – Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy) mengorak langkah baharu dalam memperkukuhkan kekuatan armada kapal selam nuklear mereka.
Terbaharu, US Navy telah menganugerahkan kontrak bernilai US$ 9.474 bilion kepada syarikat General Dynamics Electric Boat untuk membina dua kapal selam kelas Columbia.
General Dynamics Electric Boat dalam satu siaran media berkata, pihaknya telah diberikan kepercayaan sebagai kontrakto utama dalam program Columbia yang akan menggantikan kapal selam nuklear kelas Ohio.
“Pihak Electric Boat akan melaksanakan 78% pembinaan kapal selam Columbia dan pembinaan skala besar akan dijalankan di Quonset Point, Rhode Island,
“Pembinaan 4 daripada 6 modul utama akan dibina di fasiliti tersebut sebelum dihantar ke Groton, Connecticut untuk pemasangan akhir,” kata kenyataan itu.
Kapal selam kelas Columbia mempunyai sesaran sebanyak 21 ribu tan. Ianya merupakan kapal selam terbesar yang dibina dalam sejarah Amerika Syarikat.
Sehingga kini, 2 kapal selam dari kelas tersebut telah dibeli oleh Amerika Syarikat dan diberikan nama USS Columbia dan USS Winsconsin.
Pihak US Navy dijangka akan menerima kapal selam Columbia yang pertama pada tahun 2031. – airtimes.my