Home Pertahanan dan Keselamatan Belanjawan 2021: Masih banyak isu pertahanan perlu diselesaikan – Mat Sabu dan Liew Chin Tong

Belanjawan 2021: Masih banyak isu pertahanan perlu diselesaikan – Mat Sabu dan Liew Chin Tong

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 6 Nov – Kerajaan perlu menyuarakan pendirian mereka dalam beberapa isu berkaitan pertahanan negara yang diketengahkan semasa pembentangan Belanjawan 2021.

Bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Ahli Dewan Negara, Senator Liew Chin Tong dalam satu kenyataan bersama berkata, mereka menyambut baik peruntukan pertahanan yang dibentangkan dalan Belanjawan 2021.

“Kami menerima baik beberapa teras usaha kerajaan untuk meningkatkan keupayaan pertahanan negara, khasnya ketika wabak COVID-19.

“Akan tetapi, ada beberapa persoalan yang masih timbul dan perlu dijelaskan oleh pihak kerajaan,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, kerajaan perlu memberikan butiran lebih terperinci aset-aset yang diselenggara semasa perbahasan di Dewan Rakyat kelak.

“Perbelanjaan pembangunan tahun ini telah ditingkatkan daripada RM3.083 bilion ke RM4.505 bilion,

“Hampir setengah daripada peruntukan RM4.5 bilion ini (sekitar RM2.3 bilion) telah ditujukan khas untuk pemulihan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM),

“Sebaik-baiknya pihak Kerajaan perlu memberi butiran lebih terperinci untuk menyatakan, mengikut cabang perkhidmatan, apakah aset-aset tersebut yang akan dibaikpulih?

“Kami juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengingatkan sekali lagi pihak Kerajaan untuk turut memikirkan isu jangka panjang berkaitan aset-aset ATM,” jelas kenyataan itu.

Dalam kenyataan yang sama, Mohamad Sabu dan Liew Chin Tong turut menegaskan kerajaan perlu bersedia untuk memastikan penubuhan Pemerintahan Siber ATM.

“Walaupun kami tidak menentang peruntukkan RM30 juta kepada syarikat Cyber Security Malaysia untuk mengukuhkan keselamatan siber negara, kami turut ingin tahu sama ada kerajaan turut komited untuk membangkitkan keupayaan pertahanan siber Angkatan Tentera Malaysia,” katanya.

Pada masa yang sama, bekas Menteri dan Timbalan Menteri Pertahanan turut menyeru kerajaan untuk terus memberi tumpuan kepada Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) yang memerlukan selenggaraan.

“Kami berharap sementara kerajaan ingin bina unit RKAT baru, unit RKAT lama yang tidak selamat diduduki turut diberikan perhatian dan peruntukan juga,

“Hakikatnya, unit-unit baru ini juga akan memerlukan peruntukkan penyelenggaraan dalam masa akan datang,” kata kenyataan itu lagi.

Terdahulu, Kementerian Pertahanan Malaysia telah diperuntukan sebanyak RM 16 bilion dalam Belanjawan 2021. Angka ini menyaksikan pertambahan perbelanjaan bagi kementerian itu yang sebelum ini diperuntukan sebanyak RM 15.6 bilion dalam Bajet 2020. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply