[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=lynioXngc_4[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 4 Nov – Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Tawau Sabah kini beroperasi 24 jam sehari, 7 hari seminggu bagi membantu Hospital Tawau dalam merawat pesakit-pesakit bukan COVID-19 di Sabah.
Markas ATM dalam kenyataan berkata, seramai 251 pesakit telah dirawat dan 221 daripada mereka telah dibenarkan keluar sejak hari pertama hospital medan ini beroperasi pada 22 Oktober lalu.
“Pada ketika ini kes pembedahan belum lagi dilaksanakan di hospital berkenaan tetapi Tim pembedahan ATM telah ditempatkan bagi membantu Unit Bedah Hospital Tawau,
“Walau bagaimanapun, keupayaan hospital ini boleh dipertingkatkan pada bila-bila masa termasuk dewan bedah dan High Dependancy Unit,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, ATM dan Kementerian Kesihatan (KKM) telah menempatkan 39 pegawai dan 140 anggota serta kakitangan di hospital medan berkenaan.
“Tim surgeri dan bius ATM pula akan bekerjasama dengan Kluster Kesihatan Pantai Timur Sabah untuk melaksanakan pembedahan kes-kes elektif seperti kanser dan ketumbuhan yang tertangguh sebelum ini,
“Ia termasuk pembedahan kecemasan yang bukan COVID-19 di Hospital Kunak memandangkan Hospital Tawau perlu menumpukan kepada pembedahan kes-kes COVID-19,” jelasnya.
Hospital Medan ATM akan mengoptimumkan pengoperasian dengan Target Bed Occupacy Rate sejumlah 70 peratus. Sehingga kini, hospital medan ini juga akan mendapatkan bantuan daripada Unit Perubatan Transfusi Darah Hospital Tawau bagi pesakit-pesakit dan bekalan darah ‘Safe O’ juga diletakkan di sini untuk kegunaan kes kecemasan.
“Jabatan Psikiatri Hospital Tawau dalam pada itu juga akan menempatkan pesakit psikiatrik yang stabil untuk mendapatkan rawatan di Hospital Medan ini,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Panglima ATM, Janeral Tan Sri Affendi Buang TUDM dalam kenyataan yang sama berkata, kerjasama ATM dan KKM itu akan diteruskan sebagai komitmen ATM dalam tugas-tugas sekunder bagi memastikan kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan.
“Kemudahan logistik semasa dalam menyalurkan bantuan ke Sabah juga akan diteruskan dengan menggunakan aset ATM mengikut keperluan terutamanya penghantaran udara yang melibatkan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),” katanya.-airtimes.my