Home Semasa Institut Latihan KKM Johor Bahru dikenakan PKPD mulai 3 November ini

Institut Latihan KKM Johor Bahru dikenakan PKPD mulai 3 November ini

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM), Johor Bahru susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19 di kawasan berkenaan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD yang melibatkan 1,559 individu termasuk pelatih, kakitangan, ahli keluarga dan pekerja sokongan itu akan berkuat kuasa mulai 3 Nov sehingga 16 Nov depan.

“Sehingga kini, sebanyak 1,515 saringan COVID-19 telah dilaksanakan dan daripada jumlah itu 46 individu didapati positif COVID-19,

“Atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bagi menyekat penularan COVID-19 di lokaliti ini, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju untuk melaksanakan PKPD di kawasan tersebut, “ katanya dalam sidang media harian mengenai perkembangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pada hari ini.

Beliau menegaskan, semua individu yang terlibat harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPD yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Pada masa yang sama, Ismail Sabri menjelaskan, PKPD di Penjara Kepayan dan Kuarters Penjara Taman Salleh, Kampung Matabai pula dilanjutkan sehingga 16 November 2020.

“Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di Penjara Kepayan dan Kuarters Penjara Taman Mat Salleh, Kampung Matambai bermula 20 Oktober sehingga 2 November 2020,

“Sehingga 1 November 2020, jumlah kes positif COVID-19 melibatkan lokaliti tersebut adalah sebanyak 1,671 kes manakala bilangan mereka yang disaring ialah seramai 3,509 orang termasuk banduan, pegawai, kakitangan dan ahli keluarga mereka,

“Atas nasihat KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk melanjutkan PKPD di lokaliti berkenaan selama 14 hari lagi bermula esok,” ujarnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!