Home Pertahanan dan Keselamatan ESSZONE: Perintah berkurung dilanjutkan, elak pencerobohan pengganas

ESSZONE: Perintah berkurung dilanjutkan, elak pencerobohan pengganas

by Nurulhuda

KOTA KINABALU, 31 Okt – Kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik bagi mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan serta jenayah rentas sempadan.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali menjelaskan, perintah berkurung di kawasan perairan 7 daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang berakhir pada 6 petang esok, dilanjutkan hingga 16 November depan.

Hazani berkata, perintah berkurung itu meliputi perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

“Perintah berkurung ini adalah bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan mereka di kawasan daratan ESSZONE,

“Perintah ini juga diteruskan bagi memastikan kawasan perairan tidak diceroboh pengganas mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong asing yang melawat pulau peranginan,

“Orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dilarang menghampiri atau berada di kawasan diisytihar antara 6 petang hingga 6 pagi,” katanya dalam hantaran di media sosial ESSCOM, hari ini.

Menurut Hazani, arahan ini juga akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

“Saya memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZONE bagi mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung itu,” tambahnya. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!