Home Semasa Muhyiddin ajak umat Islam terus munajat hadapi Covid-19

Muhyiddin ajak umat Islam terus munajat hadapi Covid-19

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 29 Okt – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak seluruh umat islam bermunajat ketika dunia masih diuji dengan penularan pandemik COVID-19.

Beliau turut meminta rakyat untuk berdoa agar usaha memulihkan ekonomi negara dan memperkukuh perpaduan sehingga berjaya.

Menurut beliau, ujian ini seharusnya mengukuhkan iltizam masyarakat Islam untuk lebih mengasihi dan mendekatkan diri dengan ajaran Rasulullah SAW  yang tidak pernah melupakan umatnya.

“Bersempena sambutan Maulidur Rasul ini, saya ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam memperbanyakkan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW,

“Menghayati sirah serta berusaha sedaya upaya untuk mencontohi Sunnah insan yang sangat mulia dan kita kasihi ini,

“Kita juga perlu memperingati tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW sebagai bukti kasih dan sanjungan terhadap risalah perjuangan serta pengorbanan Baginda SAW,” kata Muhyiddin dalam perutusan sempena Sambutan Maulidur Rasul 1442H hari ini

“Semoga dengan usaha ini kita akan beroleh sebanyak mungkin keberkatan dan keredaan Allah SWT, serta kita semua digolongkan dalam kalangan umat yang sentiasa dikasihi dan kelak akan menerima syafaat Rasulullah SAW, insya-Allah,” ujar beliau dalam hantaran di akaun media sosial rasminya.

Menurut beliau, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengerakkan kempen “Malaysia Berselawat” yang terdiri dari rakyat Malaysia untuk merakamkan selawat dalam bentuk video pendek yang dikongsikan di media sosial masing-masing.

“Ini bukan sahaja inisiatif yang sangat baik, amalan norma baharu yang perlu kita laksanakan dalam kehidupan seharian,” jelasnya.- airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!