KUALA LUMPUR, 27 Okt – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Flat Sungai Emas, Plaza Hentian Kajang daerah Hulu Langat dan Kampung Haji Baki, Kuching, Sarawak bermula 28 Okt sehingga 10 November ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan tersebut dibuat atas nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan terdapat peningkatan kes COVID-19 positif di kawasan tersebut.
“Di Flat Sungai Emas Jalan Emas 31 dan Jalan Emas 32, sehingga 24 Oktober 2020, sebanyak 1,044 saringan telah dilaksanakan dan 42 individu didapati positif COVID-19,
“Manakala di Plaza Hentian Kajang sebanyak 909 saringan telah dilaksanakan dan 63 individu didapati positif,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.
Menurut Ismail Sabri, PKPD Flat Sungai Emas, Jalan Emas 31 dan Jalan Emas 32 melibatkan 7 blok flat serta rumah teres dengan jumlah 1,300 penduduk.
Manakala bagi PKPD Plaza Hentian Kajang akan melibatkan seramai 7,500 penduduk.
Tambahnya, PKPD di Kampung Haji Baki merangkumi 532 unit rumah yang melibatkan seramai 4,191 orang penduduk.
“Sehingga 26 Oktober, sebanyak 845 saringan yang telah dilaksanakan dan 27 orang didapati positif COVID-19,
“Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pihak Berkuasa Tempatan dan pegawai yang diberi kuasa, akan mengawal seluruh kawasan terlibat,” ujarnya. – airtimes.my