Home Semasa PKPB Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya lanjut hingga 9 November

PKPB Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya lanjut hingga 9 November

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 26 Okt – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengesahkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dilanjutkan selama 14 hari lagi.

“Kerajaan telah bersetuju untuk melanjutkan PKPB selama 14 hari mulai 27 Oktober hingga 9 November,” katanya semasa sidang media Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, hari ini.

Menurut beliau, keputusan diambil berikutan penilaian risiko yang dijalankan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di ketiga-tiga negeri.

“KKM mendapati masih terdapat lokasi yang berisiko tinggi bagi penularan COVID-19 di ketiga-tiga kawasan,” jelasnya.

Beliau menambah, prosedur operasi standard (SOP) masih kekal.

Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mula dikenakan PKPB semenjak 14 Oktober lalu berikutan peningkatan secara mendadak kes jangkitan COVID-19.

Sehingga semalam, Selangor mencatatkan 88 kes jangkitan dengan pertambahan 1 kluster baharu.

Kuala Lumpur pula mencatatkan 10 kes baharu manakala Putrajaya 1 kes. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!