KUALA LUMPUR, 25 Okt – Raja-raja menzahirkan penghargaan pada Yang di-Pertuan Agong atas sifat baginda memilih melakukan rundingan sebelum memberikan sebarang keputusan.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam ini dengan titah perkenan Raja-Raja, memaklumkan semangat itu selaras dengan budaya syura yang dianjurkan oleh Islam ketika ummah menghadapi suatu persoalan yang memerlukan penyelesaian.
“Raja-raja telah menzahirkan pendapat secara terbuka dan berterus terang dalam semangat saling menghormati, agar dapat dijadikan panduan dan rujukan dalam membantu baginda membuat ketetapan.
“Raja-raja berpendirian pentingnya dihormati mekanisme semak dan imbang antara pelbagai cabang kerajaan dan peranan baginda untuk mengimbangi pelbagai tuntutan demi menjamin berlakunya keadilan dan membatasi sebarang unsur penyalahgunaan kuasa.
Syed Danial berkata, Raja-raja turut menegaskan pentingnya prinsip raja berpelembagaan dan demokrasi berparlimen diterjemakan melalui budaya pemerintahan yang pada setiap masa meluhurkan Perlembagaan Negara dan mendaulatkan undang-undang, dan mengutamakan kebajikan rakyat jelata. – airtimes.my