KUALA LUMPUR, 22 Okt – Kumpulan tentera siber asing dikesan meniup propaganda palsu bahawa Sabah telah diserang oleh kumpulan tentera negara mereka.
Propaganda terbabit dikesan tular di media sosial termasuk aplikasi Whatsapp.
Mereka mendakwa Filipina telah menghantar 5,000 anggota tenteranya untuk melancarkan perang bagi memperkuatkan tuntutan bahawa Sabah milik mereka.
Semakan lanjut mendapati, maklumat yang disebarkan berasal dari beberapa akaun Youtube negara jiran yang mencanangkan sentimen anti-Malaysia seterusnya mencabar kedaulatan negara.
Tindakan ini merupakan langkah terbaharu oleh tentera siber negara beerkenaan yang cuba menimbulkan rasa tidak tenang dan kekalutan di kalangan warga Sabah terutamanya ketika wabak COVID-19 sedang melanda.
Serangan anti-Malaysia dan tuntutan Sabah telah dikesan kembali rancak semenjak Julai lalu.
Isu tuntutan Sabah oleh Manila bergegar kembali Setiausaha Luar Filipina, Teodoro Locsin mengulangi pendirian bahawa Sabah milik Filipina sepenuhnya.
Kenyataan Teodoro yang disiarkan di akaun Twitternya dibidas Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menegaskan tindakan rakan sejawatnya adalah tidak bertanggungjawab dan boleh memberi kesan kepada hubungan diplomatik Manila-Putrajaya.
Dalam sesi Kamar Khas Parlimen pada akhir Ogos lalu, Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar turut mengingatkan kembali tindakan Filipina yang telah cuba mencelah dalam perbicaraan kes Malaysia-Indonesia berhubung tuntutan bertindih Pulau Sipadan dan Ligitan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2001.
Permohonan mencelah tersebut telah ditolak oleh Hakim ICJ, Thomas Frank yang menegaskan tuntutan berdasarkan faktor sejarah tidak diiktiraf.
“Prinsip undang-undang antarabangsa moden tidak mengiktiraf hak kedaulatan semata-mata berdasarkan sejarah, tidak dalam apa jua keadaan selepas hak menentukan pemerintahan sendiri dilaksanakan,
“Hak ini telah menerima pengiktirafan antarabangsa oleh organ politik Bangsa-bangsa Bersatu. Maka tuntutan berdasarkan sejarah dan hak-hak sebelum era kolonial telah berakhir dan kini hanya menjadi peristiwa sejarah,” kata Thomas dalam penghakiman beliau. – airtimes.my
1 comment
The Malaysian Armed Forces is ever ready to repel and foreign incursions into Sabah. Bring it on bro.