KUALA LUMPUR, 22 Okt – Pemuda UMNO bertegas menolak sebarang kerjasama dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahupun parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) terutamanya DAP untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Naisonal (PN).
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata penolakan kerjasama tersebut dibuat kerana Anwar mahu menjatuhkan kerajaan sedia ada, hanya bertujuan memenuhi cita-citanya mahu menjadi Perdana Menteri.
“Menyokong gencatan politik (political ceasefire) sebagaimana yang disarankan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekaligus dihentikan segera sebarang polemik perebutan kuasa di saat rakyat susah dan gelisah mengharungi cabaran pandemik COVID-19 termasuk natijah kegawatan ekonomi yang melanda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Dr Asyraf, Pemuda UMNO juga mendesak agar kerajaan segera menyediakan Pelan Tindakan Khas (Blueprint) untuk menangani kemelut 2.4 juta rakyat yang bakal kehilangan pekerjaan dan lebih 1.26 juta rakyat yang dijangka mengalami kemiskinan bagi tempoh beberapa bulan akan datang (Sumber infografik KWSP).
“Menyarankan agar kerajaan melanjutkan moratorium secara pukal sekurang-kurangnya bagi tempoh 3 bulan lagi,
“Meminta kerajaan mempertimbangkan bantuan tambahan RM1,000 setiap penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) Sabah yang cuma menelan kos RM737 juta,
“Ini jauh lebih pantas dan berkesan berbanding hantaran bantuan bakul makanan yang dirumitkan oleh masalah logistik dan rekod penerima yang tidak lengkap,” ujarnya.
Semalam, UMNO menyatakan pendirian mendukung kerajaan PN dalam memfokuskan agenda membantu rakyat dan negara mendepani pandemik COVID-19 serta kegawatan ekonomi.
Dr Ahmad Zahid berkata, UMNO akan melakukan gencatan politik bagi memastikan agenda menangani COVID-19 dan membantu rakyat yang sedang dihimpit kesusahan dan kegelisahan akibat hambatan ekonomi dapat ditangani dan diutamakan.
UMNO turut mengarahkan semua kepimpinan parti yang berada dalam kabinet ketika ini memberikan sepenuh tumpuan kepada usaha untuk membantu rakyat dan meringankan beban yang ditanggung mereka akibat dampak ekonomi dan pandemik COVID-19. – airtimes.my