SANDAKAN, 22 Okt – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Sandakan berjaya menahan 6 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dan merampas 3.98 juta batang rokok putih yang dianggarkan bernilai RM4.867 juta dalam sebuah bot nelayan tempatan, semalam.
Pengarah APMM Sandakan, Kepten Maritim Zainuddin Mohd Zuki berkata, bot nelayan tempatan yang dikendalikan 6 PATI itu ditahan di kedudukan 6.1 batu nautika timur laut Tanjung Casuarina, Pulau Tetabuan pada jam 2 petang semalam oleh petugas bot APMM yang sedang menjalankan rondaan Operasi Benteng (Op Benteng) di pulau tersebut.
“Hasil pemeriksaan telah menemui lebih kurang 398 kotak berisi 19,900 karton rokok putih disyaki cuba diseludup masuk dengan anggaran nilai tanpa cukai RM1.99 juta, manakala nilai cukai pula dianggarkan RM 2.825 juta,
“6 kru termasuk tekong berumur antara 20 hingga 54 tahun disyaki warga Filipina telah ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah serta lesen bot yang telah tamat tempoh,” katanya.
Menurut Zainudin juga, nilai keseluruhan rampasan rokok putih beserta cukai termasuk bot dianggarkan berjumlah RM4.867 juta.
“Bot serta kru dibawa masuk ke Jeti ZM Sandakan untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk siasatan lanjut,
“Kes akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985,” tambahnya.
Zainuddin berkata, saringan COVID-19 mendapati seorang PATI positif dan telah dimasukkan ke hospital sementara 5 lagi adalah negatif, mereka telah diasingkan dan dikuarantin di lokap.
“APMM Sandakan akan terus meningkatkan kawalan di persempadanan perairan negara terutamanya dalam memerangi penularan COVID-19 ke Sabah di samping berusaha menyekat aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan lain-lain jenayah maritim,” ujarnya. – airtimes.my