TAWAU, 22 Okt – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menghantar bantuan 2 platun tentera dan 18 bot bagi memantapkan kawalan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).
Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Ahmad Fuad Othman berkata perkara itu dimaklumkan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM dalam satu sidang video semalam.
“Kita tunggu bantuan dari ATM, ini (bantuan) adalah proses berterusan dan apabila ada tambahan anggota bertugas serta aset keselamatan, kita akan ‘design’ operasi mengikut kesesuaian, berdasarkan ancaman,
“Kita ambil kira ancaman militan, kumpulan Abu Sayyaf, serta kumpulan penculikan untuk wang tebusan selain menangani kemasukan pendatang haram yang terdedah COVID-19,” katanya dalam hantaran di media sosial, hari ini.
Ahmad Fuad berkata, sehingga kini terdapat hampir 1,000 anggota keselamatan terlibat dalam rancangan operasi membabitkan Operasi Cegah Pati (OCP) di lautan dan daratan, Sekatan Jalan Raya (SJR) serta Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP).
“Kita mengenal pasti 70 kawasan tumpuan pendatang haram menyusup masuk melalui Sandakan, Lahad Datu, Semporna, Kunak serta Tawau dan, kita gerakkan 42 kapal serta bot ronda untuk memantau di perairan terbabit,” tambahnya.