KUALA LUMPUR, 21 Okt – Hospital Medan Malaysia (HMM) di Cox’s Bazar, Bangladesh yang beroperasi sejak 2017 ditamatkan pengoperasiannya pada tahun ini.
Kementerian Pertahanan dalam kenyataan berkata, hospital yang sepatutnya beroperasi sehingga Disember 2021 itu, ditamatkan tahun ini setelah ia berjaya mencapai objektifnya.
Menurutnya, penubuhan HMM telah berjaya mencapai objektifnya dan penarikan keluar ini tidak memberi kesan kepada hubungan 2 hala antara Malaysia dan Bangladesh serta terhadap imej negara.
“Penamatan HMM dibuat ekoran penurunan trend bilangan kes dan kehadiran pesakit berikutan keadaaan di kawasan kem pelarian semakin stabil serta tahap kesihatan pelarian Rohingya yang semakin baik susulan pesakit-pesakit kronik yang diberikan rawatan sewajarnya kepada mereka telah berjaya dilaksanakan,
“Selain itu, terdapat penambahan 6 buah hospital medan di dalam kawasan kem pelarian kendalian Kerajaan Turki dan NGO antarabangsa lain seperti Mèdecins Sans Frontiéres (MSF), HOPE Foundation, MSF Spain, Bangladesh Red Crescent Society dan Friendship,
“Pertambahan bilangan hospital medan ini telah memberi lebih banyak pilihan dan akses perkhidmatan kesihatan kepada pelarian Rohingya dan penduduk tempatan yang secara langsung telah mengurangkan kebergantungan mereka kepada HMM yang terletak di luar kawasan kem pelarian itu,
“Berdasarkan kepada perkembangan semasa, kerajaan telah memutuskan agar pengoperasian HMM ditamatkan lebih awal iaitu pada tahun 2020 berbanding dengan mandat operasi sehingga Disember 2021,” kata kenyataan itu.
HMM ditubuhkan di Cox’s Bazar bagi tujuan memberi bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh ekoran konflik di Rakhine, Myanmar.
Misi ini merupakan pelan jangka pendek untuk membantu meringankan beban dan menstabilkan keadaan dalam kem pelarian terutamanya berkaitan aspek kesihatan di kalangan pelarian Rohingya.
Pengoperasian HMM dilaksanakan secara penggiliran dengan kekuatan 56 orang petugas bagi setiap pasukan yang terdiri daripada 20 orang pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk 8 orang Pakar Perubatan, 30 anggota lain-lain pangkat (LLP) dari Kor Kesihatan DiRaja (KKD) serta 6 orang jururawat awam.
Sehingga Mac 2020, ATM telah menghantar sebanyak 5 pasukan perubatan ke HMM dan telah merawat seramai 108,038 orang. Petugas HMM juga telah melaksanakan lebih daripada 3,500 pembedahan termasuk 900 pembedahan berisiko tinggi.
Hospital itu telah mendapat pengiktirafan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai Hospital Medan Tahap Ketiga terbaik dan dipercayai di Cox’s Bazar.– airtimes.my