Home Pertahanan dan Keselamatan Hospital Medan ATM di Tawau terima 10 pesakit pada hari pertama operasi

Hospital Medan ATM di Tawau terima 10 pesakit pada hari pertama operasi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Tawau, Sabah mula beroperasi dengan menerima 10 pesakit bukan COVID-19, semalam.

Komander Hospital Medan ATM di Tawau, Kolonel Dr Shamsul Bahary Muhamad berkata, pengoperasian fasa pertama itu membabitkan penyediaan kompleks wad dengan kapasiti 100 buah katil.

“Hospital medan berkenaan itu dilengkapi dengan 6 buah wad lelaki dan wanita berbagai disiplin seperti perubatan, pembedahan dan ortopedik serta ruang resusitasi dan prosedur,

“Ia juga dilengkapi dengan kemudahan asas untuk pesakit dan staf bertugas,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Dr Shamsul berkata, kejayaan hospital medan ini yang hanya mengambil masa selama 7 hari untuk dibina merupakan contoh terbaik komitmen semua pihak bagi memberikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat tempatan di Tawau.

“Pembinaan hospital menggunakan konsep hibrid dengan mengguna pakai bangunan sedia ada iaitu di dewan tertutup Kompleks Sukan Tawau yang diubahsuai bagi memenuhi keperluan semasa,

“Pengoperasian hopital ini akan digerakkan secara bersama oleh petugas kesihatan ATM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),

“ATM juga kini sedang giat mengadakan perbincagan untuk melaksanakan pengoperasian fasa kedua dengan KKM melalui Hospital Tawau, ” tambahnya.

Hospital medan ini diaktifkan bagi memberi ruang kepada Hospital Tawau untuk terus menerima dan merawat pesakit COVID-19.

Hospital Medan ATM yang terletak 10 minit dari Hospital Tawau ini pula akan bertanggungjawab dalam menerima kes-kes perubatan yang tidak mempunyai kaitan dengan wabak yang membawa maut itu.

Sehingga semalam, Sabah masih terus mencatatkan jumlah kes harian tertinggi iaitu sebanyak 673 kes dan 32 kluster yang masih aktif. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!