Home Semasa COVID-19: 2 kawasan di Seberang Perai, Sandakan dikenakan PKPD

COVID-19: 2 kawasan di Seberang Perai, Sandakan dikenakan PKPD

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikenakan di 3 lokasi baharu yang melibatkan 2 kawasan Seberang Perai, Pulau Pinang dan satu di Sandakan, Sabah.

Pelaksanaan PKPD itu membabitkan Penjara Seberang Perai dan Kuarters Perumahan Seberang Perai, Sungai Jawi di Seberang Perai Selatan serta Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Harmoni, Taman Sandakan, Sabah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PKPD di Penjara Seberang Perai dan Kuarters Perumahan Penjara Seberang Perai bermula esok hingga 4 November depan, manakala di PPR Taman Harmoni bermula 23 Oktober sehingga 5 November 2020.

Menurutnya, PKPD ini dilaksanakan bagi membolehkan pergerakan keluar masuk di kawasan tersebut dapat dikawal dan memudahkan pelaksanaan ujian saringan COVID-19 dilaksanakan.

“Sidang Khas Majlis Keselamatan negara (MKN) hari ini mendengar pembentangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkenaan peningkatan kes positif COVID-19 melibatkan kawasan-kawasan berkenaan,

“Seramai 3,262 orang merangkumi banduan (2,110 orang), staf penjara dan keluarga yang mendiami kuarters (1,000 orang), staf penjara yang tidak mendiami kuarters (120 orang) dan kakitangan awam (32 orang) terlibat dalam PKPD ini,

“Tahanan yang akan dibebaskan dalam tempoh PKPD akan diasingkan dan akan dikuarantin di tempat yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pulau Pinang iaitu di Institut Latihan Kecemerlangan Mara (MEC), Daerah Seberang Perai Selatan sehingga tamat tempoh kuarantin,

“Prosedur operasi standard (SOP) hampir sama, tiada keluar masuk di kawasan penjara dan juga sebaliknya, selain keluarga tak dibenarkan melawat banduan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, bagi PKPD di PPR Taman Harmoni pula, ia melibatkan seramai 4,481 orang penduduk di 870 buah rumah di kawasan berkenaan.

“Semua penduduk di kawasan terlibat tidak dibenarkan keluar daripada rumah masing-masing,

“KKM akan melakukan saringan secara bersasar kepada semua penduduk yang terlibat,

“Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pihak Berkuasa Tempatan dan pegawai yang diberi kuasa, akan mengawal seluruh kawasan terlibat,” tambahnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!