Home Semasa PKPB: Pekerja awam, swasta diarah kerja dari rumah Khamis ini

PKPB: Pekerja awam, swasta diarah kerja dari rumah Khamis ini

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Pekerja di sektor awam dan swasta di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diarahkan untuk bekerja dari rumah mulai 22 Oktober 2020 untuk mengurangkan pergerakan keluar masuk melibatkan kawasan yang terlibat.

Bagi pekerja yang berada di tempat kerja pula harus menjalani ujian saringan COVID-19 bagi menentukan tahap kesihatan mereka dan akan ditanggung oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, arahan berkenaan dilaksanakan berikutan peningkatan kes positif COVID-19 di negeri dan wilayah-wilayah ini serta setelah mendapat nasihat dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“KKM juga sebelum ini telah mengumumkan terdapat 9 kluster dari tempat kerja di negeri Selangor sehingga hari ini,

“Justeru, atas nasihat KKM, sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini bersetuju agar pekerja bagi sektor awam dan pekerja swasta diperingkat pengurusan dan pengawasan tidak perlu untuk hadir ke pejabat dan hanya bekerja dari rumah (Work From Home (WFH)),” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Beliau menjelaskan, kira-kira hampir 1 juta rakyat Malaysia akan terlibat dalam arahan ini merangkumi 800 ribu dari sektor industri di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah.

“Manakala 200 ribu penjawat awam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan Selangor dan Sabah juga akan terlibat dalam arahan ini,

“Walau bagaimanapun, terdapat pengecualian bagi proses kerja yang memerlukan keberadaan di pejabat seperti bahagian yang terlibat dalam urusan kewangan yang membuat pembayaran, pengurusan, penguatkuasaan dan kebajikan,

“Pihak majikan diarah untuk mengeluarkan surat pelepasan perjalanan bagi setiap kakitangan yang terpaksa bekerja di pejabat sepanjang tempoh ini,” ujarnya.

Menurutnya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengeluarkan senarai penuh sektor yang dibenarkan beroperasi dan prosedur operasi standard (SOP) berkenaan arahan ini dalam masa terdekat.

“Tempoh berakhirnya arahan ini tertakluk kepada tarikh tamat PKPB di kawasan yang terlibat. Jika di Selangor PKPB berakhir 27 Oktober ini, jadi hanya 5 hari sahaja mereka terpaksa bekerja dari rumah WFH,

“Sekiranya bersambung 2 minggu lagi, maka 2 minggu lagi mereka WFH dan begitulah seterusnya,”tambahnya.

Pada masa yang sama, Ismail Sabri menegaskan bekerja dari rumah bukan lagi satu galakkan kepada pekerja tetapi kini adalah satu arahan dari kerajaan dan harus di patuhi oleh semua golongan.

“Dulu saya umum untuk menggalakkan untuk bekerja dari rumah. Sekarang ini bukan kita menggalakkan lagi, tapi kita mengarahkan mereka untuk bekerja dari rumah,

“MITI akan mengeluarkan arahan kepada sektor-sektor industri di bawah MITI, manakala Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) akan mengeluarkan arahan kepada perkhidmatan awam pula,” tegasnya.

Sehingga semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan seramai 21,363 orang telah disahkan mengidap wabak pandemik yang membawa maut itu. Jumlah keseluruhan pesakit sembuh pula adalah sebanyak 13,717 kes dan bilangan kes kematian telah meningkat kepada 190 kes. – airtimes.my

Related Articles

1 comment

fadzli nordin 12 November 2020 - 8:49 pm

Adakah pekerja maintenance di sekolah swasta dibenarkan bekerja seperti biasa iaitu semua staff maintenance kene bekerja seperti dan masa bekerja 9am sehingga 5.30pm?

Reply

Leave a Reply

error: Content is protected !!