KUALA LUMPUR, 19 Okt – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan ke atas Penjara Kepayan dan kuarters kediaman anggota serta pegawai di Kampung Matambai di Kota Kinabalu, Sabah.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perintah berkenaan akan berkuat kuasa pada 21 Oktober sehingga 2 November depan.
Beliau berkata, ia akan membabitkan seramai 3,511 orang yang merangkumi 2,914 banduan dan 597 staf penjara berkenaan.
“Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini mendengar pengesahan Kementerian Kesihatan berkenaan peningkatan kes positif COVID-19 membabitkan Kluster Penjara Kepayan dan Kuarters Anggota pegawai di kawasan tersebut,
“Pelaksanaan PKPD ini adalah bagi membolehkan pergerakan keluar masuk di kawasan tersebut dapat dikawal dan memudahkan pelaksanaan ujian saringan COVID-19 dilaksanakan,” katanya dalam sidang media mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.
Ismail Sabri menjelaskan barangan keperluan makanan akan diagihkan oleh Kerajaan Negeri Sabah dibawak pentadbiran Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan kluster baharu COVID-19 ini dikesan di penjara tersebut dan telah menjangkiti seramai 49 individu.
“Kes indeks Kluster Penjara Kepayan adalah kes 19,628 yang telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan kemasukan di Hospital Queen Elizabeth, Koa Kinabalu pada 14 Oktober 2020,
“Sehingga 18 Oktober, jam 12 tengah hari, seramai 170 individu telah disaring di mana 49 telah dikesan positif COVID-19 dan 121 individu disahkan negatif,” jelasnya.
Sehingga semalam, Sabah mencatatkan kes harian tertinggi apabila sebanyak 702 daripada 871 kes baharu wabak pembawa maut itu dikesan di Sabah serta 6 kematian direkodkan. –airtimes.my