Home Pertahanan dan Keselamatan Hospital Medan Tawau bantu Sabah hadapi peningkatan kes COVID-19

Hospital Medan Tawau bantu Sabah hadapi peningkatan kes COVID-19

by M.Daim

SUBANG, 18 Okt – Ketua Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera, Leftenan Jeneral Datuk Dr Md Amin Muslan menegaskan pengaktifan Hospital Medan Angkatan Tentera (ATM) Tawau akan membantu institusi perubatan di bahagian itu dalam menghadapi krisis penularan wabak COVID-19.

“Hospital Medan ATM akan membantu Hospital Tawau menghadapi situasi wabak COVID-19 di Sabah,

“Ini sekaligus membantu pihak Hospital Tawau untuk terus menerima pesakit dijangkiti COVID-19 di kawasan Pantai Timur Sabah yang dijangka akan meningkat,” katanya.

Hospital Medan ATM Tawau diaktifkan pada 10 Oktober lalu selepas Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara bersetuju untuk mewujudkan fasiliti tersebut di Sabah.

Ketua Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera, Leftenan Jeneral Datuk Dr Md Amin Muslan. Foto: Air Times/M Daim

Hospital ini akan berperanan untuk menerima kes-kes kesihatan yang tidak mempunyai kaitan dengan COVID-19.

Amin menambah, pengalaman pasukan perubatan dalam menjalani latihan ketenteraan di negeri Sabah dan Sarawak membantu pihaknya dalam menguruskan Hospital Medan Tawau.

“Dalam beberapa latihan ketenteraan sebelum ini, kita pernah menghantar pasukan Hospital Medan ke Sabah dan Sarawak,

“Namun, pengaktifan Hospital Medan di Tawau merupakan kerjasama kali pertama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menangani masalah wabak di Sabah,” kata Ketua Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera di Pangkalan Udara Subang, semalam.

Angkatan Tentera Malaysia telah menghantar seramai 4 pegawai dan 29 anggota dari Kor Kesihatan Diraja bagi mengendalikan operasi Hospital Medan ATM di Tawau. Foto: Air Times/M Daim

Terdahulu, beliau bersama Pegawai-pegawai Kanan dari Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (BPK) Angkatan Tentera hadir untuk menyaksikan pelaksanaan misi penghantaran khas 14 tan kelengkapan Hospital Medan ATM dan peralatan perubatan ke Tawau, Sabah.

Misi penerbangan ini juga turut menghantar Tim Induk Hospital Medan ATM Tawau.

“Hospital Medan ATM Tawau akan terus beroperasi sehingga keadaan COVID-19 di Sabah kembali terkawal,” katanya.

Amin menambah, penempatan Hospital Medan ATM di bahagian lain adalah bergantung kepada perancangan KKM.

Sementara itu, Markas Divisyen Ke-5 Infantri Malaysia menjelaskan Tim Induk Hospital Medan Tawau adalah melibatkan anggota dari Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan, 96 HAT Lumut, 94 HAT Terendak serta Batalion Kedua Perubatan serta elemen perubatan ATM dari Semenanjung Malaysia. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!