TAWAU, 15 Okt – Seramai 36 orang petugas perubatan dari kumpulan pertama Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tiba di Lapangan Terbang Tawau, hari ini.
Ketibaan 4 pegawai dan 32 anggota lain-lain pangkat (LLP) dari Batalion Pertama Perubatan yang berpangkalan di Kuching dan Kota Kinabalu serta elemen sokongan perubatan dari Hospital Angkatan Tentera Wilayah Kota Kinabalu adalah dengan menggunakan pesawat A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) dalam satu kenyataan berkata, kumpulan pertama ini ditempatkan di Kompleks Sukan Tawau untuk membantu Hospital Tawau dalam menangani pandemik COVID-19.
Dalam pada itu, Komander Hospital Medan ATM di Tawau, Kolonel (Dr) Shamsul Bahary Muhammad berkata, hospital medan ini dijadualkan beroperasi pada 20 Oktober dan akan menempatkan kompleks rawatan pesakit dalaman dengan kapasiti 100 buah katil.
“Dengan adanya Hospital Medan ATM ini, ianya mampu menyokong Hospital Tawau bagi merawat kes-kes bukan COVID-19 dan mempunyai kapasiti wad pesakit dalam berbagai disiplin seperti pembedahan, ortopedik, perubatan, kanak-kanak dan wanita,
“Keupayaan hospital itu juga boleh dipertingkatkan pada bila-bila masa pada fasa seterusnya termasuk dewan bedah dan High Dependency Unit (HDU),” kata Dr Shamsul Bahary.
Dr Shamsul Bahary yang mewakili Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera (PKAT) mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi-agensi yang terlibat untuk menyokong perlaksanaan pengoperasian Hospital Medan ATM ini. – airtimes.my