SUBANG, 14 Okt – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan penerbangan membawa peralatan perubatan dan ‘Personal Protective Equipment (PPE) ke Sabah bagi menampung keperluan pusat kesihatan di negeri tersebut dalam mengekang penularan wabak COVID-19.
TUDM dalam hantaran di laman sosialnya memaklumkan, pesawat pengangkut C130H dari No. 20 Skuadran, Pangkalan Udara Subang turut membawa pulang sample ujian COVID-19 daripada Labuan, Kota Kinabalu dan Tawau untuk dihantar ke makmal-makmal di Semenanjung Malaysia bagi dilaksanakan ujian terhadap sampel-sampel tersebut.
“Antara barangan yang dihantar adalah melibatkan “Isolation Gown, Faceshield, Disposable Hood dan Coverall” serta beberapa peralatan perubatan yang diperlukan,
“Penerbangan pada 12 Oktober itu telah dikendalikan oleh Mej Zikri TUDM serta dibantu oleh Kapt Syukri TUDM selaku pembantu juruterbang,”menurut kenyataan itu.
Pada 10 Oktober lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ATM akan menyediakan keperluan sokongan bagi membantu kerajaan terutamanya KKM dalam menangani situasi di Sabah berikutan peningkatan kes COVID-19 di negeri tersebut.
“Misi penerbangan ini termasuklah urusan membawa kakitangan perubatan serta membawa sampel saringan swab test ke makmal di Semenanjung,” tambahnya. -airtimes.my