Home Semasa Sorok arak di belakang tisu tandas untuk diseludup

Sorok arak di belakang tisu tandas untuk diseludup

by M.Daim

KLANG, 13 Okt – Penyeludup berputih mata apabila 6 kontena 40 kaki mengandungi minuman keras telah dirampas oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Pelabuhan Klang.

Rampasan dibuat pada 7 Oktober lalu oleh Unit Siasatan Frod Perdagangan (USFP) dan Cawangan Narkotik dari JKDM.

Kastam dalam satu kenyataan berkata, rampasan melihatkan 6 buah kontena 40 kaki di Pelabuhan Barat, pelabuhan Klang, Selangor.

“Kesemua kontena ini telah tiba di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada 18 dan 21 September 2020,

“Tiada pengikraran Borang Import (K1) dibuat oleh pengimport ke atas dagangan tersebut,” kata Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaaan & Pematuhan), Datuk Johari Alifiah.

Beliau menambah, kesemua kontena terbabit diikrarkan mengandungi pelbagai jenis barangan paip dan perabot dari sebuah negara di Asia Timur.

“Pemeriksaan ke atas semua kontena terbabit menemui minuman keras pelbagai jenama dan disorokkan di bahagian belakang kontena,

“Barang-barang lain yang diikrarkan termasuk tisu tandas diletakkan pada bahagian hadapan kontena bagi tujuan mengabui mata pihak berkuasa,” jelasnya.

Menurut Johari, syarikat yang mengimport kesemua barangan terbabit tidak mempunyai permit import yang sah.

Jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM616 ribu dengan jumlah duti serta cukai sebanyak RM 3 juta.

Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976. – airtimes.my

Galeri gambar:

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!