KUALA LUMPUR, 13 Okt – Presiden Parti Keadilan Rakyat (Keadilan), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin patut meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
“Bagi saya bahawa kerajaan Muhyiddin telah jatuh dan kehilangan majoriti, adalah wajar untuk dia meletakkan jawatan,” kata Presiden Keadilan semasa sidang media khas di Hotel Le Meridien, hari ini.
Menurut beliau, jumlah sokongan yang diterima adalah lebih daripada 120 orang parlimen.
Terdahulu, Anwar Ibrahim telah pergi ke Istana Negara pada pukul 10.25 pagi untuk menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Saya telah mempersembahkan kepada Baginda mengenai majoriti kukuh dan meyakinkan dari Ahli Parlimen yang menyokong,
“Baginda akan meneliti dokumen yang saya telah persembahkan,” katanya.
Beliau menambah, semua pihak dan rakyat perlu bersabar serta memberi ruang kepada Agong untuk meneliti kesemua dokumen terbabit.
“Dokumen yang dipersembahkan antaranya Surat Akuan Bersumpah (SD) dan juga pengesahan dokumen oleh ketua-ketua parti,
“Ketua-ketua perti akan dipanggil menghadap Baginda dalam tempoh sehari dua ini bagi mendapatkan pengesahan dan pandangan” ujarnya.
Pada masa yang sama, Anwar Ibrahim mendedahkan pihak beliau pernah cuba menghubungi Muhyiddin namun tiada sebarang tindak balas diberikan.
Selain itu, beliau akan mengeluarkan senarai ahli-ahli parlimen yang menyokong. – airtimes.my