Home Politik Sibuk berpolitik, nasib rakyat terus terabai – ISMA

Sibuk berpolitik, nasib rakyat terus terabai – ISMA

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahaya menegaskan kemelut politik negara yang tidak berkesudahan akan merugikan rakyat.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, pertukaran kerajaan adalah perkara terakhir dimahukan oleh rakyat ketika mereka sedang menghadapi cabaran hidup akibat COVID-19.

“Sebagai rakyat biasa yang menghadapi pelbagai kesusahan dalam menempuh saat-saat getir akibat penularan pandemik dan kegawatan ekonomi yang sedang memuncak ini, pasti pertukaran kerajaan adalah perkara yang terakhir yang kita mahukan,

“Ini kerana ianya akan memakan banyak masa dan tenaga khususnya para pemimpin negara yang bakal disibukkan dengan politik sehingga tidak sempat menguruskan hal serta nasib rakyat dengan baik,” katanya.

Menurut beliau, pertukaran kerajaan akan menyebabkan rombakan besar-besaran dalam kabinet, agensi, dan syarikat milik kerajaan (GLC).

Beliau menambah, negara akan menghadapi pertukaran kerajaan jika dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen adalah benar.

“Jika berlaku, maka ianya merupakan pertukaran kali ketiga selepas PRU-14 dan kali kedua tanpa pilihanraya umum.

“Apa pun yang berlaku, inilah realiti sistem demokrasi kita yang membenarkan bukan sahaja ahli politik lompat melompat, tetapi bertukar-tukar kerajaan dengan begitu mudah tanpa pilihanraya,” ujar Aminuddin.

Tegasnya, situasi begini merupakan realiti sistem demokrasi yang perlu diterima walaupun pahit.

“Apa pun yang berlaku, inilah realiti sistem demokrasi kita yang membenarkan bukan sahaja ahli politik lompat melompat, tetapi bertukar-tukar kerajaan dengan begitu mudah tanpa pilihanraya,” katanya lagi.

Pada masa yang sama, Presiden ISMA menegaskan isu ini terserah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Terserah kepada kebijaksanaan Baginda yang yang selama ini telah terbukti memainkan peranan begitu baik khususnya dalam menyelesaikan kemelut politik negara dengan menggunakan kuasanya,” jelasnya.

Beliau menambah, gelombang penularan COVID-19 yang melanda akan menjadi salah satu faktor dalam menyelesaikan kemelut politik tanah air.

“Kita sudah saksikan apa yang berlaku rentetan PRN Sabah. Itu hanya pilihanraya satu negeri, saya tidak dapat bayangkan apa pula natijahnya jika pilihanraya umum (PRU) yang melibatkan seluruh negara berlaku pula nanti,

“Bagi ahli-ahli parlimen yang sentiasa bertukar arah dan melompat, saya harap agar mereka tidak dicalonkan lagi oleh parti masing-masing dan rakyat tidak memilih mereka jika tercalon sekali pun,

“Kita tidak mahu kemelut politik sebegini berulang lagi walaupun pilihanraya umum diadakan kelak,” ujarnya.

Aminuddin turut menegaskan negara memerlukan pemain baharu dalam arena politik negara.

“Ia diharapkan dapat membuka dimensi baharu politik Malaysia yang tidak lagi dimonopoli dan dikawal oleh mana-mana individu, parti politik, taikun-taikun atau kuasa luar,” kata Aminuddin.

Semalam, Anwar Ibrahim mengumumkan beliau telah diperkenankan untuk menghadap Agong pada 13 Oktober ini. Pada masa yang sama, sumber Pakatan Harapan menyatakan Presiden Parti Keadilan Rakyat itu mempunyai sokongan sekurang-kurangnya 129 Ahli Parlimen. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!