Home Semasa Baik semua duduk di rumah putuskan penularan wabak – Dr Noor Hisham

Baik semua duduk di rumah putuskan penularan wabak – Dr Noor Hisham

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini menegaskan jaringan jangkitan COVID-19 dapat diputuskan jika semua rakyat duduk di rumah.

Beliau berkata demikian semasa sidang media COVID-19, hari ini.

“Kalau boleh, semua duduk di rumah. Ini adalah cara yang paling berkesan dalam melawan jangkitan COVID-19,” katanya.

Menurut beliau, kaedah ini sekaligus mengurangkan pendedahan dan risiko penularan wabak yang boleh membawa maut itu.

“Sekiranya terdapat urusan penting dan terpaksa keluar rumah, mereka perlu mengamalkan kebersihan kendiri serta mengambil langkah berjaga-jaga,

“Ini termasuklah menggelakkan kawasan sesak, perhimpunan serta kawasan berisiko wabak,” ujarnya.

Noor Hisham menambah, kerjasama semua pihak dari pelbagai peringkat adalah perlu kerana negara telah memasuki gelombang ketiga wabak COVID-19.

Beliau turut menjelaskan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam mengesan dan membendung penularan wabak membawa maut itu.

“Saringan dilakukan terhadap kes-kes bergejala di semua insitusi perubatan. Saringan turut dilakukan sebelum melakukan pembedahan,

“Selain itu, KKM telah melaksanakan saringan terhadap mana-mana individu yang pulang dari Sabah semenjak 27 September lalu,

‘Di Sabah, saringan turut dilakukan terhadap pesakit baharu dan pesakit dirujuk ke hospital,” jelasnya.

Selain saringan, Ketua Pengarah Kesihatan turut menyatakan aktiviti pengesanan aktif dilakukan terhadap kontak kes positif COVID-19 bagi mengesan penularan wabak.

Hari ini, sebanyak 375 kes jangkitan direkodkan dengan pertambahan 5 kluster. Selain itu, seramai 5 orang pesakit disahkan maut akibat COVID-19.

18 pesakit pula disahkan pulih dari wabak itu. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!