KUALA LUMPUR, 7 Okt – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat 2 lagi kluster baharu COVID-19 di Malaysia iaitu Kluster Bah Puchong di Selangor dan Kluster Penjara Reman di Pulau Pinang.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Bah Puchong melibatkan daerah Petaling di Selangor, Matang, Larut dan Selama, Kinta di Perak.
“3 kes indeks bagi kluster tersebut iaitu kes ke-13,061, 13,065 dan 13,069 yang dikesan positif pada 5 Oktober lalu hasil saringan pulang dari Sabah,
“Ketiga-tiga mereka telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, susulan daripada itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan 2 lagi kes positif COVID-19 di Perak iaitu di daerah Larut, Matang dan Selama serta daerah Kinta telah dikenal pasti.
“Mereka telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak,
“Sehingga hari ini, seramai 39 individu telah disaring dengan 34 orang lagi masih menunggu keputusan,” tambahnya.
Sementara itu,bagi Kluster Penjara Reman telah dikenalpasti di Timur Laut, Pulau Pinang.
“Kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-13,499) adalah merupakan kes kematian ke-141. Beliau merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 85 tahun yang telah dijumpai tidak sedarkan diri pada awal pagi 5 Oktober 2020 di dalam penjara,
“Pesakit disahkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang,” tambahnya.
Susulan itu, Dr Noor Hisham berkata, saringan kontak rapat telah dijalankan dan 6 lagi kes positif COVID-19 dikenal pasti pada 6 Oktober 2020.
“Semua kes positif ini melibatkan warganegara Malaysia dan kesemua mereka telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan,
“Sehingga hari ini, seramai 286 individu telah disaring, di mana 7 telah dikesan positif COVID-19, 78 negatif manakala 201 masih menunggu keputusan,” ujarnya.
Terdahulu, Dr Noor Hisham menjelaskan, sebanyak 489 kes baharu telah dilaporkan hari ini.
Ia melibatkan 139 kes dikesan daripada Kluster Tembok iaitu di Penjara Kedah dan 34 kes daripada lain-lain klsuter.
Manakala 314 kes melibatkan lain-lain kes di dalam komuniti dan 2 kes import direkodkan pada hari ini.
“Sebanyak 74 kes telah pulih COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 10,501,
“Sehingga kini, terdapat 40 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 13 kes memerlukan bantuan pernafasan,
“Tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 141 kes,” jelasnya. -airtimes.my