PUTRAJAYA, 6 Okt – “Maaflah jika Abah ini mula menggunakan rotan!”. Itu merupakan antara mesej yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menyampaikan perutusan khas COVID-19, hari ini.
Beliau yang sedang menjalani kuarantin berkata, penguatkuasaan terhadap pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan tetap diteruskan tanpa mengira latar belakang.
“Yang amat dikehendaki pada masa ini ialah kita semua mesti patuh kepada SOP dan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan,
“Petugas barisan hadapan dari agensi-agensi penguatkuasaan akan dikerah semula ke tempat-tempat awam untuk memastikan pematuhan,
“Jika ada yang melanggar undang-undang, hukuman kompaun dan lain-lain akan 11 dikenakan tanpa mengira pangkat dan darjat,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan turut meneliti cadangan untuk menghadkan majlis dan perhimpunan orang ramai bagi mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19.
“Ini termasuk persidangan besar, kenduri kahwin serta majlis perhimpunan orang ramai,
“Walaubagaimana pun, kerajaan akan mendapatkan input dari KKM terlebih dahulu sebelum melaksanakannya termasuk cadangan mengadakan SOP tambahan jika perlu,” jelasnya.
Hari ini, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri mendedahkan seramai 363 individu telah ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.
Antara kesalahan yang direkodkan adalah tidak memakai pelitup muka, gagal menyediakan rekod butiran diri, penjarakan fizikal, dan premis beroperasi melebihi had masa. – airtimes.my