NEW DELHI, 6 Okt – India telah berjaya melaksanakan ujian peluru berpandu supersonik untuk melancarkan torpedo.
Ujian yang melibatkan Supersonic Missile-Assisted Release of Torpedo (SMART) telah dilaksanakan di Pulau Abdul Kalam, timur India.
SMART merupakan sistem pelancaran torpedo ringan dengan menggunakan bantuan peluru berpandu yang bertindak sebagai pelancar. Sistem ini digunakan bagi mengempur sasaran bawah permukaan yang beroperasi di luar jangkauan torpedo.
Ujian yang dilaksanakan merangkumi jarak penerbangan, altitud, pemisahan kon, pelancaran dan pelancaran torpedo.
Agensi media India yang memetik kenyataan pihak Kementerian Pertahanan India yang berkata, kesemua objektif ujian telah berjjaya dicapai.
“Kejayaan ujian ini telah mempertingkatkan tahap keupayaan peperangan bawah permukaan India,” kata Menteri Pertahanan India, Rajnath Singh.
SMART merupakan sistem hibrid yang mengabungkan keupayaan 2 sistem persenjataan. Penggunaan peluru berpandu ini dapat meningkatkan jarak serangan torpedo dan mempercepatkan masa serangan.
Teknologi SMART dihasilkan oleh bahagian kajian dan pembangunan pertahanan India, Defence Research and Development Organisation (DRDO).
Jarak serangan sistem ini adalah 350 batu nautika (648 kilometer). – airtimes.my