KUALA LUMPUR, 6 Okt – Seramai 151 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang tekong ditahan dalam Operasi Benteng (Op Benteng) yang dijalankan diseluruh negeri, semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan, berkata Operasi bersepadu yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) itu turut merampas 5 kenderaan darat.
“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutama di lorong tikus,” katanya dalam kenyataan mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.
Ismail Sabri turut memaklumkan, sebanyak 133 sekatan jalan raya (SJR) Operasi Benteng juga dilaksanakan semalam melibatkan ATM (12 SJR ), PDRM (111 SJR) dan AKSEM (10 SJR).
Semalam juga, pasukan Task Force Pematuhan yang dketuai PDRM turut menahan 363 individu kerana melakukan kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Daripada jumlah itu, seramai 307 individu telah dikompaun manakala 56 direman,
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (144), gagal menyediakan peralatan/rekod butiran diri (129), penjarakan fizikal (53), premis beroperasi lebih masa (17), aktiviti dalam pub dan kelab malam (15), masuk kawasan PKPDB tanpa kebenaran (2), langgar perintah kuarantin (1), menjalankan aktiviti perjudian (1), dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah (1),” ujarnya. – airtimes.my