Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Tentera rampas 2 senapang angin di sempadan Malaysia-Indonesia

Tentera rampas 2 senapang angin di sempadan Malaysia-Indonesia

by Air Times News Network

SERIAN, 5 Okt – Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya merampas dua laras senapang angin di pinggir ladang kelapa sawit Tetangga Akrab, semalam.

Markas Briged Ketiga Infantri Malaysia (MK 3 Bgd) dalam kenyataan menerusi facebook rasminya berkata, kejadian itu berlaku ketika Batalion Kesebelas Rejimen Askar Melayu Diraja (11 RAMD) sedang melaksanakan Op Awas/Keris Parang di persempadanan Sarawak dan Kalimantan Barat (KALBAR).

“Semasa melaksanakan operasi tersebut, 11 RAMD telah berjaya mematahkan kegiatan jenayah rentas sempadan apabila membuat rampasan Barang Tanpa Tuan di Sektor Balai Ringin,

“Dalam kejadian tersebut, Kumpulan Tinjau telah diaturgerak oleh Ketua Penempatan Markas Taktikal Balai Ringin untuk mengenalpasti dan mendapatkan maklumat berkenaan status lokasi lorong-lorong tikus dan gajah dalam kawasan tanggungjawab di Sektor Balai Ringin,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, semasa Kumpulan Tinjau tiba dikawasan berkenaan, 2 orang awam dalam keadaan yang mencurigakan sempat melarikan diri dengan motosikal menghala ke sempadan Malaysia-Indonesia.

“Semasa melarikan diri, mereka mencampakkan barang iaitu dua laras senapang angin ke pinggir Ladang Sawit Tetangga Akrab,

“Orang awam tersebut berjaya melarikan diri dari ditahan oleh Kumpulan Tinjau di lokasi kejadian,” ujarnya.

Senjata yang dirampas dianggarkan berjumlah RM1,000 dan telah serahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Serian untuk pemeriksaan terperinci dan tindakan selanjutnya. – airtimes.my

Anggota tentera menyerahkan senjata yang dirampas ke Balai Polis Serian – Foto: MK 3 Bgd

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!