KUALA LUMPUR, 3 Okt – Seramai 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia berjaya dikesan cuba keluar dari Malaysia secara haram diberkas Rejimen Pertama Kor Armor Diraja (1 KAD) di sektor Op Benteng kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged) hari ini.
Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam satu kenyataan berkata tangkapan dibuat atas maklumat perisikan mengenai pengumpulan PATI di sekitar Hotel Tiara, Desaru, Johor dan telah membuat serbuan di sekitar kawasan tersebut sekitar jam 12.50 pagi.
“Hasil serbuan telah berjaya menahan 26 PATI warganegara Indonesia terdiri daripada 20 lelaki dan 6 wanita berusia sekitar 23 hingga 42 tahun yang sedang menunggu untuk pulang ke negara asal,“Kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk dibuat pemeriksaan dan saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM),” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, lapoan polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai.
“Jumlah rampasan dianggarkan bernilai keseluruhan RM84,329.18 melibatkan wang tunai mata wang Malaysia berjumlah RM 30,329.17, mata wang Indonesia Rupiah bernilai IDR 50,678,101 (RM 14,212.38) dan beberapa jenis mata wang lain,
“Turut dirampas adalah 59 buah telefon bimbit dengan nilai anggaran RM29,814.96,” ujarnya. – airtimes.my