KUALA LUMPUR, 25 Sept – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) hari ini menegaskan UMNO telah melanggar Piagam Muafakat Nasional (MN) sekiranya mereka mengubah sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini, PAS meminta UMNO untuk memberikan penjelasan berhubung dakwaan sokongan Ahli-ahli Parlimen UMNO kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sekiranya peralihan ini benar, ianya boleh dianggap sebagai suatu gerakan yang bertujuan menjatuhkan Kerajaan Perikatan Nasional yang terbina di atas permuafakatan Barisan Nasional (BN), BERSATU, PAS, GPS dan beberapa parti lain di atas kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan (PH),
“Kami berharap untuk mendapat penjelasan daripada UMNO atas dasar rakan muafakat dalam MN, seterusnya mengajak mereka untuk kembali menghayati hasrat dan iltizam yang telah disepakati secara bersama,” kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.
Menurut beliau, Piagam MN telah dimeterai pada 14 September 2019 yang bertujua untuk menyatukan umat Islam dalam negara dan mengalahkan PH yang diterajui oleh Keadilan, DAP dan Amanah.
Pada Rabu lalu, Anwar Ibrahim mendakwa beliau telah mendapat majoriti yang kukuh untuk membentuk kerajaan baharu dalam masa terdekat.
Pengumuman oleh Anwar telah mendapat sokongan dan kritikan dari pelbagai pihak. DAP dan Amanah telah menyuarakan sokongan penuh terhadap Ahli Parlimen Port Dickson itu.
Pihak Barisan Nasional, Perikatan Nasional, Muafakat Nasional, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (STAR) menyifatkan Presiden PKR itu sebagai rakus dan gila kuasa.
Muhyiddin Yassin menegaskan beliau masih memegang tampuk pimpinan negara dengan sah.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menyatakan beliau telah menerima maklumat terdapat ramai Ahli Parlimen UMNO dan BN menyatakan sokongan terhadap Anwar Ibrahim. – airtimes.my