KUALA LUMPUR, 25 Sept – Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) hari ini menegaskan mana-mana pihak yang cuba menghalang pertemuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah sebagai tidak demokratik.
Ketua Penerangan Keadilan, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pertemuan antara kedua-dua pihak telah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda terlebih dahulu.
“Kami ingin menegaskan sebarang cubaan pihak-pihak tertentu untuk menghalang pertemuan itu adalah sebagai satu tindakan melampaui batas dan tidak menjunjung amalan demokrasi,
“Ini bertenteangan dengan hasrat Seri Paduka Baginda yang jelas membuka pintu kepada rakyat disamping meneliti dengan terperinci segala isu berkaitan perlembagaan seperti yang telah berlak semasa pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8,” katanya dalam satu kenyataan.
Shamsul menambah, hasrat Presiden Parti Keadilan yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu adalah untuk mempersembahkan bukti senarai nama Ahli-ahli Parlimen memberi sokongan kepadanya.
“Ianya adalah satu hak yang wajar dihormati oleh semua pihak,” ujarnya.
Beliau menambah, terlalu banyak pihak menjadi panik berikutan pengumuman Anwar Ibrahim pada Rabu lalu.
“Mereka dengan pantas mengeluarkan kenyataan-kenyataan sumbang kerana panik sehingga memberi tohmahan buruk kepada Anwar Ibrahim,
“Kami ingin menegaskan bahawa perkaran sebegini tidak boleh dipermain-mainkan terutamanya apabila melibatkan institusi tertinggi negara,” kata Shamsul.
Beliau menambah, Anwar Ibrahim telah memohon perkenan menghadap Agong terlebih dahulu namun terpaksa ditangguhkan pada saat-saat akhir kerana Baginda sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara.
“Baginda telah memberi perkenan kepada Anwar untuk menghadap pada pukul 11 pagi 22 September,
“Namun ianya ditunda ekoran Baginda gering,” jelasnya lagi.
Pada masa yang sama, Shamsul menegaskan Muhyiddin Yassin telah hilang sokongan majoriti dari Ahli-ahli Parlimen.
“Ini turut disahkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan dengan jelas dan terang bahawa UMNO dan Barisan Nasional tidak menghalang hasrat Ahli Parlimen Mereka untuk menyokong Anwar Ibrahim,
“Beliau turut maklum bahawa ramai Ahli-ahli Parlimen UMNO yang menyokong Presiden Keadilan,” ujar Shamsul.
Menurutnya lagi, Muhyiddin telah hilang kelayakan sebagai Perdana Menteri jika mengikut dari sudut perundangan.
“Muhyiddin wajar berundur dan meletak jawatan secara terhormat. Ini memandangkan sokongan Ahli Parlimen kini telahpun beralih kepada Anwar Ibrahim,” tegasnya lagi. – airtimes.my