KUALA LUMPUR, 24 Sept – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM menjelaskan, pihaknya telah mengarahkan kesemua anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di Sabah untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat ekoran peningkatan kes positif COVID-19 di negeri berkenaan.
Beliau menjelaskan, ATM telah mengariskan pelbagai langkah berjaga-jaga serta menekankan pematuhan SOP yang lebih ketat bagi pencegahan penularan wabak tersebut yang telah ditetapkan oleh kerajaan kepada seluruh anggotanya.
“Seperti mana yang kita sedia maklum, keadaaan penularan COVID-19 di Sabah kini semakin meningkat, jadi saya telah arahkan Markas Formasi yang beroperasi di sana (Sabah) untuk mengambil langkah berjaga-jaga serta patuh kepada SOP yang ketat yang telah ditetapkan oleh kerajaan,
“Anggota tentera perlu memastikan sop dipatuhi. Contohnya, jika mereka (anggota) bertugas di lapangan, mereka perlu membersihkan diri mereka dahulu dan menukar pakaian yang bersih sebelum pulang ke rumah,
“Walaupun, pelbagai tindakan pencegahan telah ditentukan, tetapi penjagaan kebersihan ini adalah penting untuk memastikan tiada wabak jangkitan yang bakal di bawa oleh mereka semasa pulang ke rumah masing-masing,”katanya kepada pemberita selepas Majlis Graduasi dan Penyampaian Diploma Kursus Pemerintahan dan Staf Malaysia (KPSM) di PUSPAHANAS, Putrajaya, hari ini.
Terdahulu, Affendi telah menyampaikan Diploma kepada 164 penuntut Kursus Pemerintahan dan Staf Malaysia (KPSM) di PUSPAHANAS, Putrajaya.
Kursus ini terdiri daripada pegawai tentera yang terpilih dari ketiga-tiga perkhidmatan ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) serta 38 orang pegawai tentera dari 24 negara yang mempunyai perhubungan diplomatik dengan Malaysia. –airtimes.my