KOTA KINABALU, 22 Sept – Seramai 16,877 anggota polis, tentera dan pasangan mereka menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16, pagi ini.
Proses pengundian awal PRN Sabah itu bermula pada jam 8 pagi tadi di 55 pusat mengundi di seluruh negeri Sabah.
Proses pengundian awal itu berlangsung sehingga 5 petang ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataan semalam menegaskan, pengundi perlu mematuhi garis panduan pencegahan penularan COVID-19 atau prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Ejen calon dan pemerhati pilihan raya yang dilantik SPR dibenar menyaksikan proses pengundian awal itu, yang akan turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook SPR.
“Proses pengundian awal ini akan disaksikan oleh ejen calon dan Pemerhati Pilihan Raya yang dilantik oleh SPR,
“Di samping itu, SPR akan menyiarkan proses pengundian ini secara langsung menerusi laman Facebook SPR,” katanya.