KOTA KINABALU, 21 Sept – Seramai 16,877 pengundi yang terdri daripada anggota tentera dan polis akan mengundi di 55 pusat mengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16, esok.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ikmalrudin Ishak, dalam satu kenyataan hari ini berkata, jumlah itu merangkumi 7,487 anggota tentera dan 9,390 anggota polis di seluruh negeri.
Sepanjang proses undi awal ini, beliau berkata, pematuhan kepada Garis Panduan Pencegahan COVID-19 yang berkuatkuasa seperti penjarakan fizikal, amalan pemakaian pelitup muka separuh, penggunaan pensanitasi tangan, saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran akan dilaksanakan.
“Proses pengundian awal ini akan disaksikan oleh ejen calon dan Pemerhati Pilihan Raya yang dilantik oleh SPR,
“Di samping itu, SPR akan menyiarkan proses pengundian ini secara langsung menerusi laman Facebook SPR,” katanya.
Ikmalrudin berkata, kesemua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap-lokap balai polis dan hanya akan dikira pada jam 4.00 petang, 26 Setember 2020.
“Pengiraan kertas undi akan dijalankan di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR dan
urusan pengiraan undi akan disaksikan oleh ejen-ejen calon masingmasing,” tambahnya. – airtimes.my