KUALA LUMPUR, 21 Sept – Kenyataan Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi mengenai pencerobohan Lahad Datu adalah sandiwara merupakan satu penghinaan yang sangat besar.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak berkata kenyataan ini amat menyedihkan dan penghinaan yang amat besar kepada pasukan keselamatan negara yang bertarung nyawa untuk mempertahankan kedaulatan negara.
Artikel berkaitan: Sandiwara Lahad Datu: Tentera hanya serang ayam dan anjing – Ahli Parlimen Warisan
“Amat sedih selepas menonton klip video calon PRN Warisan merangkap bekas Menteri PH kata pencerobohan Lahad Datu tahun 2013 hanya satu sandiwara,
“Dia sindir pasukan keselamatan kita cuma berperang dengan ayam dan anjing masa itu,” kata Najib menerusi hantaran di facebook rasminya hari ini.
Menurut Najib, pasukan keselamatan telah bertarung nyawa untuk mempertahankan kedaulatan negara.
“Ini juga satu penghinaan terutamanya kepada keluarga 10 wira dan 6 warga Sabah yang terkorban,
“Seramai 50 orang penceroboh juga maut dalam Ops Daulat masa itu,” katanya. – airtimes.my